sihat

Bahaya gigitan sengkenit

Oleh Aniza Zainudin

DERITANYA melihat kanak-kanak yang diserang sengkenit atau ada memanggilnya sebagai kutu babi.

Setiap kali cubaan untuk menanggalkan sengkenit, mereka tentu meraung kesakitan malah terpaksa menahan rasa gatal yang teramat.

Dalam bahasa Inggeris, sengkenit ini dipanggil ‘tick’ dan ia sejenis ektoparasit (parasit luaran) yang berada dalam keluarga Ixodidae (bagi sengkenit yang berkulit keras) atau dalam keluarga Argasidae (bagi sengkenit yang berkulit lembut).

Ada lebih 700 spesies sengkenit daripada keluarga Ixodidae. Ia adalah ektoparasit yang hidup dengan menghisap darah manusia termasuk mamalia lain seperti burung, reptilia dan amfibia untuk tujuan pembiakan.

Felo Penyelidik, Institut Farmakogenomiks Integratif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri menegaskan jangan sesekali abaikan penangan makhluk kecil ini kerana ia mampu menghasilkan sejumlah telur dan akhirnya bermaharajalela pada anggota badan tertentu bagi tempoh yang lama.

“Sengkenit sesuai membiak di kawasan dengan tahap kelembapan tinggi dan keadaan suhu yang suam-suam kuku. Jika cuaca terlalu panas dan kering, ia tidak dapat membiak dengan aktif.

“Satu lagi keperluan hidup sengkenit adalah wujudnya perumah yang banyak untuk ditumpangi, manakala perumah yang paling disukai adalah manusia serta mamalia seperti burung, reptilia dan amfibia.

“Bagi kanak-kanak yang tinggal di kampung, terkena gigitan sengkenit perkara biasa kerana kawasan kampung memenuhi tiga faktor utama bagi sengkenit membiak iaitu lembap, suhu sederhana dan banyak binatang (perumah) untuk ditumpang seterusnya dihisap darahnya.

“Habitat haiwan ektoparasit ini adalah pada lalang dan daun belukar. Apabila mangsa menghampiri habitatnya, sengkenit akan melekat lalu merayap mencari kawasan kulit sebelum menyedut darah menggunakan sengat tajam di bahagian depan.

“Memiliki fizikal berkaki lapan, kebiasaannya sengkenit suka menghisap darah manusia di sekitar permukaan kulit yang lembut. Ini termasuk pada muka, mata, telinga dan kemaluan.

“Bila ia menghisap darah, saiz perutnya akan membesar 30 kali ganda daripada saiz asal,” katanya.

Menurut Dr Tengku Shahrul Anuar, sengkenit boleh hinggap pada kanak-kanak yang suka bermain dalam semak-samun atau ketika perkhemahan di belukar dan hutan.

Bukan itu saja, katanya kanak-kanak yang suka menggomol dan memeluk haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, ayam, burung dan sebagainya yang diserang sengkenit juga berisiko besar dijangkiti ektoparasit ini.

Katanya, sengkenit boleh membawa virus yang tidak kurang bahayanya kepada manusia walaupun ancaman sengkenit jarang didengar dan tiada laporan direkodkan di Malaysia.

Sengkenit ini membawa virus Congo atau CCHF (Crimean-Congo haemorrhagic fever) yang boleh menyebabkan demam berdarah.

“Simptom bermula secara tiba-tiba apabila pesakit yang dijangkiti virus berbahaya ini akan mendapat demam, sakit otot (mialgia), pening, sakit leher, sakit belakang, sakit kepala, sakit mata dan sensitif kepada cahaya (fotofobia).

“Pesakit juga mengadu loya, muntah, cirit-birit, sakit di bahagian abdomen, sakit tekak dan disusuli perubahan emosi serta kekeliruan.

“Selepas dua hingga empat hari, kesakitan ini bertambah buruk apabila pesakit mudah berasa mengantuk, murung, letih dan sakit abdomen yang menjurus bahagian atas kanan serta pembesaran hati (hepatomegali).

“Tanda klinikal lain termasuk jantung berdegup laju (tachycardia), pembesaran kelenjar limfa (limfadenopati) dan bintik merah yang menyebabkan pendarahan pada permukaan mukosa dalaman seperti mulut, tekak dan kulit.

“Bintik merah ini boleh mengakibatkan ruam lebih teruk atau kecederaan tisu sehingga pendarahan berlebihan pada kulit (ecchymoses) dan fenomena berdarah yang lain.

“Pesakit yang sudah teruk mungkin mengalami kemerosotan buah pinggang dengan pantas, kegagalan hati secara tiba-tiba atau kegagalan pulmonari (pengangkutan darah) selepas hari kelima.

“Kematian boleh berlaku pada minggu kedua sakit, namun pesakit yang sembuh menunjukkan perubahan pada hari kesembilan atau ke-10 selepas menunjukkan gejala,” jelasnya.

Mengulas mengenai kawalan dan rawatan masalah sengkenit, beliau berkata, masih tiada vaksin untuk mencegah penyakit ini sama ada untuk manusia atau haiwan.

Namun, langkah pencegahan boleh dimulakan dengan mengurangkan risiko jangkitan seperti penggunaan bahan kimia penghalau serangga terutama sengkenit atau kutu dan pakaian yang bersesuaian untuk pekerja ladang ternakan atau pengendali haiwan lain.

Ada kajian melaporkan penyengat antara serangga yang boleh membunuh pembiakan sengkenit ini.

Oleh itu, jika anda menternak kambing atau lembu, penyengat sebenarnya ada manfaat yang baik untuk mengawal sengkenit ini.

Katanya, satu lagi cara dalam mengawal pembiakan sengkenit melalui penternakan sejenis ayam yang dikenali sebagai guinea (Guineafowl).

Jika anda mempunyai dua ekor ayam guinea, ia sudah mencukupi bagi menghapuskan sengkenit seluas kawasan dua ekar dalam masa setahun.

Menurut Dr Tengku Shahrul Anuar, rawatan melegakan gejala dan rawatan sokongan adalah pendekatan utama dalam pengurusan demam berdarah Congo ini.

Pesakit dinasihat mendapatkan rehat mencukupi, mengawal keseimbangan cecair dalam badan dengan membaiki paras elektrolit serta sokongan oksigen dan hemodinamik (aliran darah) yang terganggu.

Katanya, ubatan antivirus ribavirin turut digunakan dalam rawatan jangkitan CCHF sama ada diambil secara oral atau suntikan ke dalam vena (IV).

Berkongsi tip menanggalkan sengkenit pada kulit, beliau berkata bukan mudah menanggalkannya, apatah lagi jika ia menghisap darah pada kawasan sensitif dan lembut pada kulit kita.

Biasanya masyarakat di kampung akan menyapukan kapur sireh untuk memudahkan sengkenit ini menanggalkan dirinya.

Selain itu, bagi memudahkan lagi usaha menanggalkan sengkenit, anda boleh menggunakan bantuan penyepit dengan menyepit pada anggota badan sengkenit dan tarik perlahan-lahan.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 6:20am
d