sihat

Pelihara kulit wajah

MEMILIKI kulit wajah bersih tanpa cacat cela sering jadi ukuran pertama tahap kebersihan peribadi individu secara luaran.

Jerawat antara masalah kulit yang biasa dialami setiap orang, justeru penting bagi kita mengetahui punca bagaimana ia terjadi seterusnya membantu kembalikan kesihatan kulit wajah.

Jerawat adalah keadaan di mana ada bintik atau benjolan pada permukaan kulit akibat liang roma tersumbat dengan minyak dan sel kulit mati.

Ia terbahagi kepada dua iaitu jerawat tanpa keradangan seperti bintik hitam dan putih, dan jerawat bersama keradangan kulit serta mengandungi nanah. Jerawat terhasil apabila folikel rambut tersumbat oleh lebihan sebum atau minyak.

Apabila sebum, sel kulit mati dan bakteria terperangkap di bawah permukaan kulit, berlaku pembengkakan dalam pelbagai bentuk dan saiz. Bakteria Propionibacterium acnes (P.acnes) wujud pada folikel rambut dalam liang roma dan berdasarkan beberapa kajian, bakteria ini mempunyai perkaitan dengan masalah acnes vulgaris.

Propionibacterium adalah bakteria gram positif dan suka hidup dalam persekitaran yang mempunyai aras oksigen rendah antaranya liang roma tersumbat.

Ia mempunyai enzim yang boleh mencernakan asid lemak dan trigliserin dalam sebum.

Proses pencernaan sebum menghasilkan bahan komedogenik dan menjadikan simptom jerawat lebih teruk. Bakteria P.acnes tidak merosakkan kulit secara langsung, sebaliknya ia diakibatkan tindak balas keradangan dalam sistem imunisasi.

Jerawat bernanah berpunca daripada tindak balas berlebihan sistem imunisasi yang menghantar sel darah putih untuk menghapuskan bakteria.

Selain itu, jerawat juga berpunca daripada pengambilan ubatan yang mengandungi phenytoin, iodin, bromida, steriod, isoniazid dan litium, pemakaian pakaian atau peralatan terlalu ketat pada permukaan kulit yang bersentuhan.

Perubahan hormon dan penggunaan produk kulit atau rambut yang berminyak juga menyumbat liang roma antara faktor mengakibatkan pembentukan jerawat.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 5:00am
d