sihat

Seksa datang bulan

Oleh Nurul Husna Mahmud

‘DATANG bulan’ adalah kitaran wajib yang menandakan seseorang wanita itu normal dan sihat. Biasanya mereka yang dalam haid akan menghadapi gejala sampingan seperti senggugut iaitu nyeri di bahagian ari-ari atau perut selain ada kala timbul mual dan sakit kepala jika terlalu teruk.

Namun bagi pesakit endometriosis, kesan sampingan dialami akibat kitaran haid bukan gejala biasa, sebaliknya mereka mengalami kesakitan melampau selain pengalaman pendarahan luar biasa setiap bulan.

Akibat gangguan itu ada antara mereka menghadapi kesan psikologi dan sosial termasuklah hilang pekerjaan selain berisiko ditinggalkan suami.

Pesakit endometriosis, Norsu’iadah Amir berkongsi kisahnya yang terharu dengan sokongan suami tercinta, Mohd Danial Nazri dalam mengharungi penyakit berkenaan.

“Saya terpaksa bekerja sendiri kerana majikan dan rakan tidak memahami kesakitan dialami oleh pesakit endometriosis seperti saya.

“Ada yang mempertikaikan cuti sakit diberikan kerana beranggapan saya sengaja mahu makan gaji buta.

“Tidak mahu terus terpalit dengan dilema itu, saya berhenti dan suami memahami keputusan itu.

“Sekarang saya memilih kerja yang lebih fleksibel dan sesuai dengan rutin saya,” katanya.

Mohd Danial pula berkata, dia tidak pernah kesal mengahwini Norsu’aidah dan berasa perlu sedaya upaya meringankan kesakitan isterinya.

“Tidak dinafikan pada awal perkahwinan ketika isteri mula-mula dimasukkan ke hospital kerana penyakit itu saya berasa ‘takut’ dan tidak tahu apa perlu lakukan.

“Melihat dia mengerang dan berada dalam kesakitan membuatkan saya rasa simpati.

“Apatah lagi setiap bulan dia mengambil ubat tahan sakit pada dos paling tinggi tetapi masih tidak dapat mengurangkan kesakitannya.

“Ketika inilah, suami perlu memberi sokongan kepada isteri. Saya akan usap dan mendengar luahannya mengenai penyakit berkenaan.

“Saya membaca untuk mengetahui lebih banyak mengenai endometriosis dan sering menemani isteri menemui doktor selain aktiviti membabitkan pesakit ini.

“Memang ramai bertanya pasal anak kepada kami. Anak adalah rezeki yang Allah tentukan.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkannya, kerana tumpuan lebih utama kepada masalah kesihatan isteri.

“Jangan putus asa dan berusaha untuk cari ubat baik untuk pasangan,” katanya.

Jelas Mohd Danial, keluarganya tidak pernah mempertikaikan situasi dia dan pasangannya yang masih belum mempunyai cahaya mata.

“Keluarga faham dan saya juga menerangkan situasi kesihatan isteri ketika ini tidak membolehkan kami menimang cahaya mata.

“Kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain bahawa ia mungkin ujian kepada rumah tangga kami.

“Kami harus reda menerimanya,” katanya yang turut menemani isteri dalam sebarang aktiviti membabitkan pesakit endometriosis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Endometriosis Selangor dan Kuala Lumpur (MyEndosis), Surita Mogan berkata, dia turut menghadapi situasi

seperti itu.

“Kebimbangan terbesar pesakit endometriosis adalah soal masa depan mereka.

“Mereka bimbang jika ditakdirkan hidup berseorangan tanpa zuriat.

“Selain menderita gejala penyakit itu seperti kesakitan teruk ketika haid, loya, pengsan dan ketidakselesaan ketika membuang air besar, kebimbangan lain ialah tidak boleh mengandung selepas berkahwin.

“Berdasarkan data kami ada, masalah pesakit endometriosis turut menghadapi kadar kemurungan tinggi apabila penyakit mereka pada tahap teruk iaitu memungkinkan mereka mandul.

“Pada fikiran pesakit, mereka tidak boleh berkahwin kerana biasanya wanita mandul dilihat sebagai ‘terlarang’ dalam masyarakat.

“Mungkin pasangan boleh menerima keadaan ini tetapi tekanan dari ibu mentua dan orang lain membuatkan pesakit juga mengalami masalah psikologi yang teruk,” katanya.

Tambah Surita, dia pernah menghadapi dilema sedemikian ketika merancang untuk berkahwin dengan pasangannya 18 tahun lalu.

“Tidak usah lihat pada pengalaman rakan mahupun teman yang lain, saya sendiri pernah terfikir mahu membujang seumur hidup.

“Saya didiagnos pengidap endometriosis tahap empat sejak 2001 setelah saya mengalami kesakitan seperti apendiks. Terlalu sakit seolah-olah usus saya hendak pecah.

“Disebabkan itu juga saya menjalankan pembedahan pertama pada tahun sama untuk mengeluarkan tiga sista dan mengikis dinding rahim bagi membuang adenomiosis (endometriosis rahim).

“Selepas bergelut kesakitan, saya turut menerima perkhabaran tidak baik dari doktor iaitu saya tidak boleh hamil secara semula jadi.

“Masa itu saya tidak pasti mahu berkahwin ataupun tidak dengan teman lelaki (suami sekarang).

“Selepas pembedahan saya diberi suntikan selama enam bulan untuk meletakkan saya pada situasi pseudomenopaus (putus haid palsu).

“Tidak sangka sebaik ubat berkenaan tamat tempoh pengambilannya, saya hamil dan jangkaan doktor tidak tepat.

“Namun apabila kandungan masuk bulan ketujuh, saya mengalami keguguran dan rasa amat tertekan.

“Namun saya tidak mahu berputus asa, saya cuba ambil risiko dan mengandung pada 2004 dan syukur dikurniakan anak perempuan.

“Pengalaman kedua juga tidak kurang hebatnya apabila anak dilahirkan tidak cukup bulan kerana pendarahan pada usia kandungan 34 minggu,” katanya yang tetap optimis dan sekali lagi mengambil risiko melahirkan anak kedua pada 2011.

Sementara itu Pakar Sakit Puan dan Kesuburan Pusat Kesuburan, Dr Mohan Raj Varutha Rajoo berkata, ketika ini tiada rawatan khusus mengatasi masalah endometriosis selain ubat tahan sakit.

“Setiap bulan endometriosis berlaku apabila sel endometrium dari rahim berkembang di kawasan lain dalam tubuh wanita.

“Sel ini memang sedia ada dalam tubuh tetapi dalam situasi tertentu, berlaku perkembangan sel luar biasa menimbulkan pembentukan sista yang menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian tubuh lain.

“Jika saiznya kecil, pesakit diberikan ubat tahan sakit. Jika saiznya besar dan boleh mengancam kesihatan pesakit contohnya berada melata di hati, buah pinggang dan sebagainya, pembedahan diperlukan bagi membuat ketulan sista itu.

“Jadi keluarga terutama suami harus membantu pesakit mengharungi ‘detik’ kesakitan itu selain mengurangkan kesan psikologi.

“Pesakit juga disarankan mengelak pengambilan daging merah dan makanan proses kerana dipercayai boleh memburukkan situasi sel endometrium luar biasa,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 5:00am
d