sihat

H.pylori serang lapisan perut

Oleh Zaitie Satibi

JANGKITAN bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) adalah penyakit berjangkit yang paling umum di peringkat global dan menjejaskan kira-kira separuh daripada penduduk dunia. Ia membiak dalam saluran pencernaan dan cenderung menyerang lapisan perut seterusnya menyebabkan jangkitan dalam perut atau bahagian pertama usus kecil.

Bagi segelintir orang, ia tidak menyebabkan tanda-tanda atau gejala dan tidak membawa apa-apa komplikasi, namun bagi orang lain bakteria ini boleh membawa kesan serius seperti ulser serta kanser perut.

Jangkitannya disebarkan menerusi mulut pembawa atau penghidap kepada individu lain. Ia juga dikatakan dipindahkan melalui najis tercemar ke mulut yang berlaku apabila seseorang tidak mencuci tangan dengan bersih selepas menggunakan tandas.

Bakteria ini turut tersebar daripada sentuhan dengan makanan atau minuman tercemar. Bakteria ini dipercayai menyebabkan masalah dalam perut apabila ia menembusi lapisan mukus perut dan menghasilkan sebatian yang meneutralkan asid perut. Ini membuatkan sel perut mudah rapuh terhadap asid yang keras.

Asid perut dan bakteria kemudian menyebabkan keradangan pada lapisan perut serta mengakibat­kan luka atau ulser peptik (ulser gastrik) dalam perut atau duodenum iaitu bahagian pertama usus kecil. Malangnya, bakteria ini mampu beradaptasi dan membiak dalam persekitaran berasid dalam perut.

Ia juga boleh mengubah persekitarannya dan mengurangkan keasidan supaya bakteria boleh kekal hidup. Malah, bakteria ini boleh mempengaruhi tindak balas imun supaya tidak dimusnahkan dan keadaan ini menjadi punca kepada masalah dalam perut.

Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Datuk Dr Goh Khean Lee berkata, individu yang dijangkiti mungkin langsung tidak menunjukkan simptom, sebalik­nya simptom umum yang mungkin berlaku seperti sakit abdomen, rasa loya, kehilangan selera, sering bersendawa, perut kembung dan kehilangan berat badan secara tiba-tiba.

“Walaupun kaedah sebaran jangkitan sebenar masih tidak diketahui, H.pylori mungkin berjangkit daripada seorang ke orang lain menerusi air liur, muntah atau najis.

“Tahap penyakit dan kos perubatan yang dikaitkan dengan jangkitan H. pylori juga tidak boleh diabaikan kerana ia sudah dikenal pasti sebagai satu daripada punca utama penyakit ulser peptik dan kanser gastrik di seluruh dunia.

“Pada 2012, jangkitan H.pylori dianggarkan sebagai punca kepada kira-kira 774,000 kes baharu kanser gastrik di peringkat global. Namun, jangkitan bakteria ini sering diabaikan berikutan dianggap masalah biasa,” katanya.

Katanya, ramai yang tidak mengetahui bahawa Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan H.pylori sebagai karsinogen kumpulan 14 yang juga kumpulan sama seperti merokok tembakau.

“Sehubungan itu, kita perlu mula mengutamakan pembasmian jangkitan ini berbanding hanya merawat simptom gastrik dengan ubat tanpa preskripsi. Selama lebih 20 tahun, terapi barisan pertama bagi jang­kitan H.pylori termasuk kombinasi perencat pam proton (PPI) dan antibiotik.

“Tetapi kita sudah melihat perubahan yang ketara dalam keberkesanan rawatan ini dengan kadar pembasmian yang jatuh di bawah tahap 80 peratus di kebanyakan negara dan mencecah kurang daripada 70 peratus di rantau tertentu.

“Kita perlu mempertimbangkan pilihan rawatan yang lain untuk membanteras jangkitan ini. Jangkitan H.pylori boleh dirawat dengan berkesan menggunakan ubat antibiotik yang perlu diambil sekurang-kurangnya dua minggu atau kombinasi bersama ubat kurangkan asid dalam perut yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan antibiotik, di samping mengurangkan gejala dan menggalakkan penyembuhan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jabatan Gastroenterologi, Universiti Juntendo (Jepun), Profesor Akihito Nagahara berkata, satu cara yang berkesan untuk meningkatkan daya ketahanan bakteria terhadap antibiotik adalah dengan memastikan penindasan asid adalah kuat dan berterusan.

“Penindasan asid yang kuat meningkatkan kadar tindakan antibiotik seperti amoxcycillin dan clarithromycin yang diberikan bersama. Ini menghasilkan kadar pembasmian H.pylori yang sangat baik dalam tempoh rawatan yang sing­kat dan ia dibuktikan oleh beberapa terbitan kajian terkemuka berkenaan subjek ini,” katanya.

Katanya, rawatan terbaharu jangkitan ini membabitkan penggunaan Vocinti iaitu sejenis vonoprazan diperkenalkan syarikat biofarmaseutikal, Takeda yang bukan saja mengu­rangkan rembesan asid dengan pantas bermula daripada dos pertama, tetapi juga menyediakan mod tindakan yang konsisten dan tahan lama.

“Rawatan ini ialah penyekat asid kompetitif kalium baharu (P-CAB) dengan kecenderungan yang tinggi kepada pam asid di dalam perut yang menyekat penghasilan asid gastrik. Ia adalah sejenis rawatan tambahan yang berkesan yang digunakan bersama antibiotik untuk membasmi bakteria.

“Selain menjamin keberkesanan yang tinggi dalam terapi pembasmian H.pylori, rawatan ini juga membolehkan erosif esofagitis atau radang saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut) dipulihkan dengan lebih pantas dan melegakan simptom,” katanya.

Erosif esofagitis berlaku apabila refluks kandungan asid dari perut kembali ke esofagus. Simptom radang saluran makanan ini seperti sukar atau sakit apabila menelan, sakit dada yang dikaitkan dengan pemakanan, pedih ulu hati dan rasa seperti makanan tersangkut dalam tekak.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebanyak 13 peratus daripada pesakit yang menjalani pemeriksaan endoskopik pada bahagian gastrousus atas untuk kesakitan kronik pada bahagian abdomen atas menunjukkan kewujudan bukti endoskopik bahawa berlaku erosif esofagitis.

“Dalam kajian klinikal, rawatan ini menunjukkan profil keselamatan yang baik dalam merawat erosif esofagitis mahupun pembasmian bakteria H.pylori.

“Berdasarkan satu kajian selama enam minggu yang menguji keberkesanan dan keselamatan rawatan terbaharu ini berbanding dengan rawatan biasa, tiada perbezaan yang ketara dapat diperhatikan daripada segi tahap toleransi berbanding dengan PPI,” katanya.

Tanda-tanda jangkitan H.pylori

• Loya

• Muntah

• Kembung perut

• Sendawa yang kerap

• Berat badan susut mendadak

• Tidak berselera makan

• Nafas berbau busuk

• Sakit abdomen

Komplikasi jangkitan H.pylori

• Ulser peptik

• Pendarahan dalaman apabila ulser peptik pecah

• Penyumbatan dalam perut

• Dinding perut bocor

• Jangkitan peritoneum

• Faktor risiko kanser perut

Simptom erosif esofagitis

• Sukar menelan

• Sakit apabila menelan

• Rasa sesuatu tersangkut dalam tekak

• Rasa pedih dalam saluran makanan

• Pedih ulu hati

• Pendarahan dalam muntah atau najis

Komplikasi erosif esofagitis

• Parut yang terbentuk menyebabkan saluran esofagus mengecil atau sempit sehingga menyu­karkan untuk menelan

• Sukar makan atau minum kerana sakit ketika menelan menyebabkan dehidrasi

• Sakit dada, sesak nafas disebabkan esofagus berlubang

• Esofagus berlubang menyebabkan bakteria dari usus masuk ke bahagian dada mengakibatkan jangkitan serius

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 6:00am
d