sihat

Rasa ingin mati

Oleh Aniza Zainudin

KECEWA dan amarah berpanjangan adalah dua perasaan sering dialami Qushay, 39, apabila orang di sekeliling tidak memenuhi kehendaknya.

Kemarahan dan kekecewaan itu sering membuatkan kadar degupan jantungnya meningkat dan tidak normal.

Gusar dengan kesihatan diri malah menganggap ia antara simptom penyakit jantung, usahawan itu bergegas bertemu pakar kardiologi.

Malangnya, hasil pemeriksaan menunjukkan jantung Qushay tidak mengalami sebarang masalah.

Kemudian, beliau bertemu pakar psikiatri sebelum disahkan menghidap penyakit serangan panik pada awal 2018.

“Paling teruk, saya pernah mengalami serangan panik ketika memandu. Secara tiba-tiba, denyutan jantung laju, rasa takut, sesak nafas dan seperti ingin mati.

“Situasi itu sangat menakutkan. Mujur saya berjaya mengawal perasaan dan terus memandu ke hospital.

“Selepas bertemu pakar dan bercerita masalah dialami, saya berasa lega apabila mengetahui punca sebenar keadaan ini berlaku.

“Dipercayai serangan panik berlaku apabila saya gagal mengawal perasaan kecewa dan marah terutama jika orang yang dipercayai gagal memenuhi harapan saya.

“Kemarahan tidak terkawal memberikan kesan kepada perut dan menghasilkan gas refluks, seterusnya mengganggu kadar denyutan nadi saya.

“Justeru, saya perlu belajar mengawal diri, menjalani kehidupan lebih seimbang seperti tidur mencukupi, mengambil makanan sihat tepat pada waktunya dan meningkatkan tahap kerohanian diri,” katanya ketika dihubungi.

Pakar psikiatri, Dr Jannah Nasution Raduan berkata, masalah serangan panik ini terbahagi kepada dua yakni serangan panik biasa dan penyakit panik.

Serangan panik biasa boleh dialami sesiapa sahaja dan mungkin hanya berlaku dua hingga tiga kali seumur hidup.

“Berbeza dengan penyakit panik yang berlaku berulang-kali dengan kekerapan paling teruk tiga hingga empat kali sehari atau seminggu.

“Pesakit panik mengalami rasa takut dan bimbang apabila berlakunya serangan, maka mereka mengasingkan diri dengan cara tidak keluar rumah.

“Waktu puncak serangan panik ini boleh berlaku selama 10 hingga 30 minit.

“Simptomnya termasuk rasa takut, jantung berdenyut laju, mulut kering, sesak nafas, rasa tercekik, mual, menggeletar, berpeluh, jari berasa sejuk, perut memulas, otot di bahu dan tengkuk menjadi tegang.

“Sekiranya seseorang individu mengalami empat daripada simptom ini, diagnosis positif menunjukkan mereka mengalami penyakit serangan panik,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan UiTM, baru-baru ini.

Jelasnya, masalah penyakit serangan panik sering disalah faham dengan penyakit jantung dan tiroid kerana ia mempunyai simptom hampir sama.

Justeru, penyakit kecelaruan mental ini perlu mendapat diagnosis daripada pakar menerusi beberapa prosedur.

Ini kerana penyakit serangan panik boleh memberi kesan jangka panjang kepada pesakit apabila hilang fungsi pengurusan diri seperti hilang fokus dalam kerjaya, tidak bergaul dalam jaringan sosial dan penjagaan diri merosot.

Serangan panik juga boleh mendatangkan fobia kepada individu, membawa kepada masalah kewangan (apabila tidak bekerja), kemurungan dan risiko kebergantungan pada alkohol.

Rawatan

Dr Jannah menyifatkan langkah pertama ialah perlu bertemu pakar psikiatrik bagi memastikan masalah sebenar.

Rawatan terbahagi empat; yang pertama ialah ubat-ubatan bagi menyeimbangkan kadar bahan kimia dalam saraf sekali gus mengawal rasa panik.

Kedua, terapi psikologi apabila pesakit dapat berkongsi rasa dengan doktor, berbincang dan mengenal pasti punca serta cara menangani serangan panik.

Ketiga, aspek kerohanian meliputi pengurusan stres, ibadat dan bertafakur.

Rawatan terakhir

adalah berkaitan aspek sosial apabila pakar perubatan membantu pesakit untuk berbincang dengan majikan, memperkuatkan sokongan keluarga dan rakan supaya membantu pesakit ketika menjalani rawatan.

Ujar Dr Jannah, melalui bantuan pakar, pesakit dapat mengenal pasti episod serangan panik yang berlaku menerusi beberapa persoalan seperti situasi, fikiran dan perasaan ketika ia berlaku.

Rawatan awal dapat membantu pesakit untuk cepat pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 4:12pm
d