sihat

Pesakit jantung kian muda

TAHUKAH anda, apa penyakit yang paling banyak menyebabkan kematian? Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2018, penyakit jantung menduduki tempat teratas dan kekal sebagai pembunuh utama rakyat Malaysia bagi tempoh 13 tahun berturut-turut, iaitu dari 2005 hingga 2017.

Menurut Garis Panduan Praktis Klinikal (CPG), Pencegahan Primer dan Sekunder bagi Penyakit Kardiovaskular 2017, purata umur bagi pesakit jantung di Malaysia adalah 58 tahun, lebih muda berbanding di Thailand dan Singapura, masing-masing pada usia 63 dan 68 tahun.

Terbaharu, trend kematian pada usia muda disebabkan penyakit jantung di negara ini semakin hari semakin merisaukan.

Peningkatan kes pesakit jantung pada usia muda iaitu seawal 25 tahun menjadi fenomena yang biasa di hospital dan klinik di seluruh Malaysia.

Oleh itu, semua pihak perlu mempertingkatkan peranan masing-masing untuk mencegah penyakit jantung memandangkan banyak faktor risiko yang menyebabkan pembunuh nombor satu ini.

Antara penyumbang kepada faktor risiko penyakit jantung adalah kencing manis, hipertensi, obesiti, merokok, pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Pesakit jantung penyakit jantung koronari akan mengalami simptom seperti sakit dada, sakit yang merebak ke tangan, badan berpeluh, kelesuan, berasa loya, muntah dan sukar bernafas.

Mereka yang mengalami mana-mana simptom tadi harus segera menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

Namun, ada juga pesakit yang secara tiba-tiba sudah tidak sedarkan diri. Bayangkan apakah yang akan anda lakukan jika seseorang terjatuh dan nafasnya berhenti?

Jika anda terlatih untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari atau CPR (prosedur untuk mengembalikan denyutan jantung dan pernafasan melalui pengepaman jantung secara luaran dengan menggunakan tangan), anda mampu menyelamatkan nyawa. Jika tidak, dia mungkin maut di hadapan anda!

Inilah sebabnya penting bagi kita untuk mempelajari CPR, namun, langkah yang paling bijak adalah mengetahui bagaimana faktor risiko penyakit ini dapat dikesan pada tahap yang lebih awal. Pencegahan itu lebih baik daripada mengubati.

RENDAHKAN FAKTOR RISIKO

Tabiat pemakanan yang baik adalah tunjang utama mencegah penyakit jantung. Ia boleh dilakukan dengan:

• Mengurangkan minyak dan lemak dalam makanan untuk merendahkan risiko sumbatan pada saluran jantung.

• Jadualkan pemakanan mengikut pengiraan kalori pada setiap kali waktu makan untuk mengelakkan risiko obes.

• Biasakan juga menjaga aras gula dengan lebih banyak meminum air kosong berbanding air manis untuk mengelakkan penyakit kencing manis.

• Sekiranya mengalami masalah, dapatkan bantuan pakar pemakanan bagi mengelakkan penyakit yang berpunca daripada pemakanan yang salah.

• Luangkan masa untuk bersenam. Kesibukan setiap hari sering menyebabkan aktiviti bersukan tidak dilakukan.

• Kurangkan ketagihan terhadap gadget yang menjadi penghalang utama untuk bersenam terutama bagi golongan muda.

• Aktiviti jasmani secara rutin dapat mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 20 hingga 30 peratus dengan merendahkan aras kolesterol berbahaya di samping dapat menjaga berat badan.

• Adalah dianjurkan agar melakukan senaman selama 150 minit dalam seminggu agar tubuh kita sentiasa sihat dan cergas.

• Berhenti merokok. Ini sangat penting untuk mengelakkan serangan sakit jantung. Ibarat rumah terbakar yang disimbah petrol, merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan, juga menyebabkan risiko penyakit jantung menjadi lebih parah.

Asap dan bahan kimia pada rokok akan menambahkan kerosakan pada sistem jantung dan pembuluh darah.

Merokok tidak sahaja membahayakan diri tetapi juga orang

tersayang di sekeliling.

• Dapatkan bantuan di Klinik Berhenti Merokok yang menawarkan nasihat dan pilihan rawatan agar anda dapat berhenti selama-lamanya daripada tabiat buruk ini.

Peningkatan penyakit jantung menjadi beban bagi negara sekiranya ia tidak diatasi.

Tabiat pemakanan yang salah, kegemukan, mempunyai penyakit kronik, gaya hidup yang pasif dan merokok adalah perkara yang buruk buat jantung anda.

Allah memberi kita pengepam darah yang paling unik. Ketahuilah bahawa setiap denyutan jantung itu adalah anugerah-Nya.

Jadi, pastikan anda bukan antara orang yang berisiko mendapat penyakit ini. Dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut bagi mencegah penyakit ini.

Bagi mereka yang sudah mempunyai masalah jantung, pengambilan ubat-ubatan yang teratur dapat membendung daripada pelbagai komplikasi dan kematian.

Artikel sumbangan Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili, Pegawai Perubatan Hospital Sungai Siput merangkap Presiden Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 5:05am
d