sihat

Galak anak ambil air kosong

Oleh Helmy Abd Rahman

KANAK-KANAK selalu menganggap ibu bapa mereka seumpama adiwira dan contoh terbaik untuk diikuti, maka tidak hairanlah mereka sering meniru perbuatan serta tabiat orang tua masing-masing.

Misalnya, ibu bapa ketagih meminum kopi, maka anak kecil mereka cenderung untuk meminati kopi dan tabiat itu mungkin diteruskan sehingga dewasa.

Justeru, elok untuk ibu bapa menunjukkan contoh baik di depan anak kecil mereka dan satu daripadanya adalah tabiat minum air kosong.

Ini kerana amat penting untuk kita meminum antara enam hingga lapan gelas air kosong setiap hari bagi fungsi fisiologi dalam badan, mengawal suhu tubuh dan proses perkumuhan.

Malah, air kosong juga dapat melindungi organ dan tisu dalam badan manusia.

Jadikan contoh kepada anak anda dengan membawa botol air ke tempat kerja.

Pengambilan air kosong secukupnya dapat mengelakkan anak daripada dehidrasi yang boleh menyebabkan gangguan pada sistem kognitif, melemahkan fungsi kardiovaskular, mengurangkan keupayaan untuk melakukan aktiviti harian dan mengganggu sistem kawalan suhu badan selain gangguan keseimbangan cairan atau air dalam tubuh.

Selalunya anak anda mudah berpeluh akibat aktiviti dilakukan misalnya bermain dan berlari.

Oleh itu, kandungan air dalam badan yang mencukupi perlu untuk membantu sistem perkumuhan membabitkan pengeluaran bahan buangan daripada badan dengan berkesan.

Jika anak anda mengalami kekurangan air, buah pinggangnya terpaksa bekerja lebih keras menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Berikut disenaraikan panduan untuk meningkatkan pengambilan harian air kosong untuk anak anda:

1. Sediakan jadual minum air dan berikan kepada anak anda supaya mereka tidak lupa meminum air kosong.

2. Kawal anak anda daripada mengambil minuman bergula dan berkarbonat bagi mengelakkan penambahan kalori yang tidak diperlukan.

3. Galakkan anak anda minum air kosong dengan banyak.

4. Pastikan air kosong sentiasa tersedia dan mudah untuk diambil di rumah.

5. Bekalkan air kosong ke sekolah.

6. Anak-anak harus diingatkan untuk minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga.

Disediakan oleh,

Nurul Hidayah Hassim,Pegawai Penyelidik Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 5:10am
d