sihat

Kegagalan jantung kian rumit

Oleh Zaitie Satibi

KEGAGALAN jantung adalah aspek penyakit jantung yang sering diabaikan. Disebabkan itu, kajian mendapati pesakit yang mengalami kegagalan jantung menghadapi risiko kematian yang lebih tinggi berbanding penghidap kebanyakan jenis kanser.

Ditambah dengan tahap kelaziman yang makin meningkat, masalah kegagalan jantung tidak lagi boleh dibiarkan berterusan. Menyedari hakikat ini, pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Kegagalan Jantung 2019 edisi keempat memang tepat pada masanya dalam usaha menaikkan tahap penjagaan pesakit.

Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata, kegagalan jantung memberi impak besar terhadap negara, selain membawa kesan buruk terhadap kehidupan pesakit dan penjaga mereka.

Kesan kegagalan jantung dapat dilihat dalam persekitaran klinikal apabila kian ramai pesakit dimasukkan ke hospital akibat kerumitan yang disebabkan kegagalan jantung setiap hari.

Lebih 26 juta orang mengalami kegagalan jantung di seluruh dunia dan penyakit ini menunjukkan tahap morbiditi dan kematian yang tinggi. Kegagalan jantung adalah ketidakupayaan jantung untuk mengepam bekalan darah yang secukupnya ke seluruh badan dan boleh dialami oleh sesiapa saja pada sebarang peringkat usia.

“Kegagalan jantung berlaku pada usia yang lebih muda di negara ini berbanding negara Barat dan memperlihatkan ciri-ciri klinikal yang lebih teruk dengan faktor risiko vaskular seperti hipertensi (penyakit darah tinggi), obesiti (kegemukan) dan diabetes.

“Di Malaysia, kegagalan jantung juga punca umum kemasukan hospital dan membentuk enam hingga 10 peratus semua kemasukan perubatan. Ia juga mengakibatkan satu kematian daripada 10 pesakit yang dimasukkan ke hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel kegagalan jantung bersama media anjuran syarikat farmaseutikal, Novartis Malaysia, di ibu negara, baru-baru ini. Dalam bengkel itu, Dr Wan Azman juga memberi penjelasan mengenai CPG Pengurusan Kegagalan Jantung 2019.

CPG ini adalah panduan komprehensif dan piawai bagi doktor di seluruh Malaysia untuk merawat pesakit yang mengalami kegagalan jantung. Disokong oleh penyelidikan klinikal dan rawatan berasaskan bukti penyelidikan, garis panduan ini menggabungkan rawatan terkini dan mengutamakan rawatan khusus bagi setiap pesakit.

Antara tambahan penting kepada CPG ini termasuklah rawatan khusus bagi penghidap kegagalan jantung yang tergolong dalam kumpulan khas seperti penghidap diabetes, ibu mengandung dan pesakit jantung kongenital dewasa. Edisi baharu ini juga menambahkan jenis pilihan rawatan utama yang boleh membantu menambah baik keputusan keseluruhan bagi pesakit dengan kegagalan jantung kronik.

“Sebagai penyumbang kepada CPG ini, saya dan pakar lain menyedari bahawa rawatan pesakit kegagalan jantung bergantung antara satu sama lain.

“Penjagaan secara holistik untuk pesakit yang mengalami kegagalan jantung bermula dengan kerjasama pakar daripada bidang yang berlainan dan kaedah rawatan berasaskan penyelidikan terkini.

“Pakar klinikal perlu mempertimbangkan matlamat keseluruhan, nilai, perspektif dan pilihan pesakit. Langkah menjalankan penilaian pesakit berdasarkan kes masing-masing dan menyesuaikan rawatan berasaskan keadaan mereka masih menjadi faktor penting dalam pengurusan penyakit ini.

“Kami berharap pakar klinikal di seluruh Malaysia akan mengikuti langkah-langkah dalam CPG ini untuk menyediakan rawatan terbaik bagi semua pesakit yang alami kegagalan jantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kardiologi dan Pusat Kajian Klinikal, Hospital Queen Elizabeth II (Kota Kinabalu, Sabah), Dr Liew Houng Bang berkata, pihaknya melihat sendiri kesan buruk akibat kegagalan jantung dan sedar bahawa mereka perlu mengubah cara merawat pesakit.

“Daripada memulakan langkah pencegahan dan pengesanan awal bagi kumpulan yang berisiko tinggi kepada memanfaatkan kemajuan penyelidikan dan farmakologi terkini, kami perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk menambah baik rawatan pesakit.

“Hanya dengan menjadikan perkara ini satu keutamaan, barulah kita dapat menangani isu peningkatan kos yang dikaitkan dengan penyakit ini. Panduan yang dibentangkan mengesyorkan matlamat rawatan dalam kegagalan jantung.

“Antaranya, mengurangkan simptom, menaik taraf kapasiti berfungsi dan kualiti hidup, mencegah kemasukan ke wad dan kunjungan ke hospital mengejut serta membaik pulih ikhtiar pesakit,” katanya.

Pasukan perubatan terdiri doktor, ahli farmasi, pakar pemakanan dan jururawat yang menjadi sebahagian daripada program pengurusan penjagaan untuk kegagalan jantung dalam pelbagai disiplin. Mereka bukan sahaja mahu mengurangkan risiko kemasukan pesakit ke hospital atau ditahan di wad, sebaliknya membuat pemantauan kepada pesakit di rumah.

“Biarpun kegagalan jantung adalah masalah serius, namun banyak pemahaman mengenai penyakit ini dan rawatan yang ada ini adalah berkesan. Pesakit yang boleh menerima keadaan kesihatan mereka dan mampu mengawalnya akan memiliki kualiti hidup lebih baik,” katanya.

TAHU KLASIFIKASI PENYAKIT

“Pesakit juga perlu tahu tahap klasifikasi penyakit mereka berdasarkan simptom ditunjukkan. Bagi Kelas 1, pesakit boleh melakukan aktiviti fizikal tanpa mengalami sesak nafas atau penat atau degupan jantung kuat.

“Kelas II menunjukkan pesakit mengalami sesak nafas atau penat atau degupan jantung kuat apabila melakukan aktiviti berat contohnya menaiki beberapa anak tangga. Kelas III pula pesakit mengalami sesak nafas atau penat atau degupan jantung kuat biarpun melakukan aktiviti harian seperti berjalan.

“Bagi Kelas IV, pesakit susah bernafas biarpun tidak melakukan apa-apa, malah mudah mengalami sesak nafas atau penat atau degupan jantung kuat jika melakukan aktiviti harian yang biasa,” katanya.

Katanya, pesakit perlu mengubah gaya hidup selepas mengetahui keadaan kesihatan yang tersenarai dalam kelas berkenaan dan ia perlu dilakukan bagi membantu dirinya menguruskan penyakit terbabit.

“Dapatkan nasihat doktor mengenai aktiviti fizikal yang sesuai dilakukan dan buat aktiviti yang mampu dihadapi oleh tubuh sendiri. Ubah cara pemakanan dan jenis makanan supaya ia tidak membebankan jantung.

“Berhati-hati dalam pengambilan garam kerana ia boleh menjejaskan kandungan cecair badan yang juga akan membebankan jantung. Pilihlah menu yang kurang kandungan garam dan hadkan pengambilan makanan masin.

“Hindar rokok dan minuman alkohol, bagi yang sedia mengambilnya boleh berhenti terus selepas sah didiagnosis alami kegagalan jantung,” katanya.

Kegagalan jantung dicirikan dengan ketidakupayaan organ penting ini mengepam bekalan darah mencukupi ke seluruh tubuh. Tanpa aliran darah yang cukup, semua fungsi tubuh yang utama akan terganggu.

Penyakit ini juga boleh menjejaskan sama ada bahagian kanan atau bahagian kiri atau kedua-dua bahagian jantung. Ia boleh jadi akut atau terjadi dalam jangka pendek, malah boleh terjadi dengan kronik atau penyakit berlaku berterusan.

Ia juga disifatkan masalah pandemik secara global yang menjejaskan sekurang-kurangnya 26 juta orang di seluruh dunia. Di Malaysia pula dianggarkan satu hingga dua peratus populasinya mengalami penyakit ini dengan enam hingga 10 peratus dimasukkan ke hospital dan 25 peratus lagi kembali semula dalam tempoh 30 hari.

Keadaan ini diburukkan dengan kadar kematian setahun yang boleh berubah-ubah antara lima hingga 52 peratus bergantung kepada tahap kesihatan dan penyakit sampingan seperti diabetes dan hipertensi. Malah, kos pengurusan dan rawatan kegagalan jantung di negara ini dianggarkan sebanyak RM806 juta yang sama dengan 1.8 peratus perbelanjaan kesihatan keseluruhan negara.

Jantung yang sedia rosak tidak boleh dibaiki, sebaliknya rawatan yang ada boleh memulihkan tanda-tanda dan simptom serta membantu memanjangkan jangka hayat pesakit. Kombinasi perubahan gaya hidup seperti senaman, pengambilan garam rendah, menguruskan tekanan dan berat badan boleh mengubah kualiti hidup.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 5:15am
d