sihat

Pilih coli sesuai

Oleh Zaitie Satibi

ADA begitu banyak mitos mengenai payudara yang menular dalam masyarakat.

Mitos paling popular apabila pemakaian coli dikatakan boleh menyebabkan barah payudara.

Bagaimanapun, mitos itu disangkal apabila kajian mendapati tiada kaitan antara pemakaian coli dan barah payudara.

Malah memakai coli tidak diketahui boleh mendatangkan akibat negatif terhadap anggota badan itu.

Walaupun coli bukan punca barah payudara, ia tidak bermaksud pemakaiannya tidak memberikan impak kepada kesihatan.

Ini kerana, pemakaian coli yang tidak sesuai boleh mengakibatkan postur yang lemah, sakit belakang dan leher serta alur bahu sehingga menyebabkan jari kebas, selain mengurangkan keyakinan diri.

Memiliki payudara sihat dan cantik adalah idaman setiap wanita.

Oleh itu, ia harus dijaga dan dibelai sama seperti penjagaan badan, kulit, wajah dan rambut.

Payudara wanita mula berkembang selepas baligh dan lebih ketara berbanding lelaki serta mengandungi kelenjar mama yang merembeskan susu untuk bayi.

Sebagai aset penting pada tubuh, payudara harus diberi perhatian bagi mengurangkan risiko terkena penyakit dan disebabkan itu penjagaannya perlu berbeza daripada penjagaan bahagian lain tubuh.

Penjagaan awal bermula dengan pemakaian coli untuk anak gadis yang mengalami pembesaran payudara.

Kebanyakan anak gadis mengalami pembesaran payudara dalam lingkungan usia lapan hingga 10 tahun.

Pembesaran itu menjadi lebih ketara pada usia 10 hingga 12 tahun.

Pendedahan mengenai penjagaan payudara ketika peringkat kanak-kanak adalah waktu yang sewajarnya berikutan pemakaian coli yang tidak sesuai bukan saja menyebabkan ketidakselesaan, malah menyakitkan.

Masih ada wanita yang tidak tahu memilih coli sesuai untuk payudara.

Memakai coli yang tidak sepadan dengan saiz payudara menyebabkan kawasan sekitar anggota itu mengalami tekanan.

Semakin usia meningkat, kelahiran anak, perubahan bentuk tubuh dan pengabaian penjagaan menyebabkan payudara jatuh atau kurang menarik.

Namun, payudara juga hilang ketegangan kerana coli tidak dapat menampung saiz dan berat payudara.

Pengurus Perkhidmatan dan Latihan, Triumph Malaysia & Singapura Julie Chew berkata, pemakaian coli yang salah dan tidak sesuai bukan saja tidak menyenangkan, malah mungkin merimaskan.

Katanya, coli yang tidak selesa dipakai turut memberikan impak besar ke atas keyakinan diri.

“Payudara setiap wanita adalah unik, oleh itu masing-masing mempunyai kriteria coli yang berlainan termasuk gaya rekaan, sokongan dan keselesaan.

“Amat penting untuk mendapatkan coli yang muat dan selesa dengan payudara.

“Ini kerana, memakai coli yang kurang optimum boleh menjejaskan kesihatan fizikal berikutan pakaian dalam yang tidak dapat memberikan sokongan secukupnya boleh merosakkan postur tubuh dan menyebabkan sakit di leher, belakang, bahu, payudara malah keradangan kulit.

“Wanita juga perlu mengambil kira perkembangan payudara mereka dari semasa ke semasa.

“Ini berikutan, saiz coli boleh berubah beberapa kali disebabkan perubahan berat badan, kehamilan dan penuaan.

“Coli yang muat dipakai tahun lalu, mungkin tidak lagi sesuai sekarang,” katanya.

Menurutnya, coli yang dipilih sebelum dibeli perlu dipastikan bukan saja tidak terlalu ketat, malah memberi sokongan dan mampu bergerak dengan selesa ketika memakainya.

“Cara memilih coli yang betul ialah dengan mengambil kiraan ukur lilit bahagian bawah payudara dan ukuran lilit payudara.

“Anda boleh membawa pita pengukur sendiri ketika membeli coli jika kedai tidak menyediakan pita pengukur.

“Selain itu, dapatkan bantuan jurujual untuk mendapatkan ukuran tepat dan jangan takut mencuba pelbagai coli dan pilih mana dirasakan sesuai dan selesa.

“Padankan dengan pakaian sebaik mencuba sesuatu coli dan pastikan adakah ia memberikan penampilan selesa.

“Cuba melompat setempat, angkat kedua-dua tangan dan hayunkan kiri kanan.

“Coli yang sesuai akan membuatkan anda berasa selesa dan tidak terganggu walaupun apa jua pergerakan dilakukan.

“Namun, jika anda masih teragak-agak, ia bukan coli yang sesuai,” katanya.

Biarpun anda sudah menemui coli yang sesuai dengan tubuh, bagaimanapun ia mungkin tidak sesuai untuk dipakai bagi kebanyakan acara.

Ini kerana, bentuk payudara berubah mengikut bulan ataupun harian. Ia disebabkan hormon yang boleh membuatkan saiz payudara mengembang terutama pada hari kitaran haid.

“Anda perlu mempertimbangkan memakai pelbagai jenis coli untuk aktiviti berlainan. Tahap sokongan, jenis mangkuk dan tali serta gaya rekaan coli berbeza mengikut aktiviti dilakukan. Ada coli direka khusus untuk bersukan, malah ada coli direka untuk anda memakai baju-T atau kebaya.

“Coli turut mempengaruhi penampilan wanita. Memakai coli yang salah bukan saja mendatangkan ketidakselesaan, malah merosakkan penampilan dan mungkin membuatkan anda malu dengan bentuk tubuh sendiri. Oleh itu, jangan ragu untuk berbelanja lebih bagi mendapatkan coli yang sesuai asalkan anda menang memakai,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:15am
d