sihat

Pertingkat prestasi doktor

Oleh Zaitie Satibi

APABILA pesakit masuk hospital, mereka kerap dipindahkan dari satu jabatan ke jabatan lain. Ini menjadikan doktor atau pakar sukar mendapatkan butiran lengkap daripada sistem pemantauan yang beroperasi secara bebas.

Data yang tidak lengkap tidak hanya membataskan pandangan doktor terhadap keadaan pesakit, malah boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan pesakit.

Malah, di sesetengah hospital, maklumat pesakit dan skor amaran awal dengan kod warna lazim ditulis pada papan putih untuk memaklumkan doktor perubahan dalam status kesihatan pesakit.

Ini ada kala boleh mewujudkan ketidakcekapan dan penangguhan dalam penjagaan berikutan doktor kemungkinan tidak menerima kemas kini terbaharu perubahan semasa pesakit.

Penjagaan kesihatan kini membangun pantas sehingga ia memerlukan teknologi yang menyepadukan segala-galanya sekali gus memudahkan doktor demi kesejahteraan pesakit.

Model operasi kesihatan sudah banyak yang direka untuk menyesuaikan diri dengan pengaruh data pesakit yang makin bertambah.

Sehubungan itu, pengeluar teknologi kesihatan terkemuka, Philips, berusaha memperbaiki hasil penjagaan kesihatan, ketenteraman pesakit dan kakitangan serta mengurangkan kos penjagaan melalui pelaksanaan penyelesaian penjagaan yang terhubung dikenali Analisis Pemantauan dan Penjagaan Terapeutik Philips.

Dalam program itu, peranti, perisian dan perkhidmatan berpadu dalam rangka kerja penyelesaian pintar yang lancar.

Penyelesaian yang diwujudkan termasuk yang diguna dalam persekitaran penjagaan utama dan mendesak seperti penjagaan kritikal jabatan kecemasan, penjagaan sebelum dan selepas pembedahan, wad penjagaan am, penjagaan bayi dan ibu serta kardiologi.

Penyelesaian berkenaan membolehkan aliran kerja yang lebih pintar sekali gus mempertingkatkan penyelesaian aliran di hospital.

Ketua Kesihatan Peribadi dan Sistem Kesihatan Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel berkata, penyelesaian penjagaan terhubung Philips membenarkan profesional penjagaan kesihatan menyediakan penjagaan kepada pesakit di titik penjagaan dalam persekitaran hospital serta memantau proses pemulihan mereka di rumah.

Model penjagaan terhubung yang menjangkaui pemulihan itu juga membolehkan pemantauan statistik kesihatan jangka panjang pesakit supaya isu-isu terpendam boleh ditangani awal bagi mengelak kemasukan ke hospital.

“Apabila kita merapatkan jurang semasa dalam pemantauan pesakit menggunakan teknologi terhubung, kita akan mencapai pengalaman penjagaan pesakit yang lebih konsisten, peralihan pesakit yang lancar dan memperbaiki hasil rawatan serta mara selangkah menghampiri ekosistem penjagaan berasaskan nilai.

“Dalam ekosistem penjagaan berasaskan nilai, penyedia penjagaan kesihatan menerima ganjaran menerusi kualiti hasil rawatan dan bukan jumlah penjagaan yang disedia. Ini juga menggalakkan penjagaan kesihatan berunsurkan pencegahan dan bukan penjagaan berunsurkan rawatan dalam jangka panjang,” katanya.

Kebanyakan hospital mempunyai jumlah data yang besar dalam sistem mereka dan memang mencabar untuk mengakses data yang jitu dan dalam konteks yang betul bagi mendapatkan pandangan komprehensif yang tepat berkaitan keadaan pesakit.

Bukan sahaja butiran terbabit perlu lebih bersepadu dan mudah diakses, ia juga perlu membolehkan tindakan diambil di mana-mana lokasi penjagaan.

Portfolio pengurusan maklumat kesihatan Philips yang berskala, selamat dan mempunyai keupayaan dipadankan dengan produk atau sistem lain tanpa halangan, memaparkan sistem perusahaan pintar, peranti, perisian dan perkhidmatan yang dikuasai kecerdasan buatan (AI).

Penyelesaian Philips menggabungkan penyelesaian penjagaan pesakit, analitik maju dan peralatan pengoptimuman pesakit serta aliran kerja di dalam dan di luar hospital bagi menyediakan data yang disaring secara pintar dan disampaikan pada waktu serta lokasi yang sesuai.

Menerusi teknologi komprehensif ini, pemantauan berterusan sepanjang rawatan di hospital dapat dilaksanakan. Pada ketika ini, data disepadukan, dikumpulkan dan dikaji untuk langkah campur tangan awal atau pengurusan kesihatan pasca akut.

Ini seterusnya membolehkan pemahaman keputusan klinikal dan pelaksanaan penggera pintar di hospital, selain mempertingkatkan pemulihan pesakit di rumah menerusi penjagaan susulan bermaklumat dan pemantauan berasaskan kediaman.

Menurut Muhammad Ali yang juga Pengurus Negara Philips Malaysia, pendekatan penjagaan terhubung dalam penjagaan kesihatan mempunyai potensi besar di negara ini dan seperti juga di negara lain apabila ia terbukti mampu memberi kesan positif terhadap kesihatan.

Ia ditunjukkan menerusi peningkatan keberkesanan untuk memperbaiki hasil rawatan pesakit, mengurangkan beban kerja petugas perubatan dan membantu pelaksanaan keputusan klinikal seperti mengurangkan risiko akibat pencetusan amaran, jangkitan dari hospital dan kesilapan perubatan.

Selain itu, ia melengkapi infrastruktur teknologi maklumat yang sedia ada di hospital untuk mencapai keputusan klinikal dan aliran kerja yang lebih pantas, rundingan jarak jauh dan penyatuan proses membuat keputusan merentasi pelbagai hospital.

“Cabaran penjagaan kesihatan di Malaysia bukan sesuatu yang luar biasa, termasuk masyarakat yang semakin berusia dan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit kronik yang kesemuanya bergabung untuk memberi tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan.

“Kurangnya golongan profesional mahir dalam bidang perubatan dan tumpuan di bandar juga bermakna ada sesetengah rakyat Malaysia tidak menerima penjagaan pakar perubatan yang secukupnya, manakala nisbah penghunian katil juga tidak sekata di seluruh negara.

“Ada banyak ciri dalam rangka penjagaan terhubung yang dapat meringankan cabaran ini, seperti pengawasan di rumah yang membolehkan pelepasan pesakit lebih awal, pengawasan berterusan data pesakit untuk mengelakkan kesihatan pesakit kronik menjadi melarat dan teleperubatan yang membolehkan perundingan dengan pakar di tempat lain di dalam negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:30am
d