sihat

Serang sistem saraf manusia

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MALAYSIA bebas daripada penyakit polio sejak 27 tahun lalu namun pada 6 Disember tahun lalu, negara dikejutkan dengan satu kes seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Sabah dijangkiti virus penyakit berkenaan.

Polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia sehingga boleh menyebabkan lumpuh kekal.

Penyakit ini boleh membawa maut jika berlaku kegagalan sistem pernafasan terhadap pesakitnya.

Lazimnya, virus ini menjangkiti kanak-kanak berusia kurang lima tahun yang belum mendapat suntikan pelalian.

Bagaimanapun, virus ini turut boleh menjangkiti orang dewasa.

Kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala namun hanya seorang daripada empat pesakit mengalami gejala demam dan selesema.

Gejala ini biasanya dialami selama dua hingga lima hari dan kemudian sembuh sendiri tanpa komplikasi.

Bagaimanapun, sebilangan kecil individu yang dijangkiti akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti kebas, keradangan selaput otak, lumpuh atau mati.

Individu tiada sejarah pelalian polio lengkap adalah golongan berisiko mendapat penyakit polio sekiranya mereka tidak mencuci tangan dengan sempurna selepas menguruskan pesakit yang membuang air besar dan menukar lampinnya.

Selain itu, faktor tidak menggunakan bekalan air bersih, tandas dengan sempurna, memiliki sistem imun yang rendah, pernah mengunjungi kawasan berlaku wabak polio dan mengendalikan spesimen makmal virus ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit ini.

Virus polio menjangkiti manusia secara fekal-oral (daripada dubur ke mulut).

Virus dalam najis pesakit polio memasuki tubuh melalui beberapa cara iaitu memakan makanan atau minum air tercemar.

Keadaan tangan tercemar dan menyentuh mulut tanpa mencuci tangan dengan sempurna serta memasukkan objek tercemar seperti mainan dalam mulut juga satu daripada cara penularan wabak ini.

Apabila virus ini memasuki badan, ia akan membiak dalam usus yang kemudian dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti orang lain melalui cara berkenaan.

Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Pendekatan terbaik melindungi diri daripada dijangkiti penyakit ini ialah melalui suntikan vaksin polio.

Di Malaysia, vaksin polio diberi sebanyak empat dos secara kombinasi bersama vaksin difteria, pertusis, tetanus dan influenza hemofilus jenis B (HIB) kepada kanak-kanak berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan.

Bagaimanapun, aspek penjagaan kebersihan diri dan persekitaran perlu diutamakan bagi mencegah jangkitan penyakit ini.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 7:30am
d