sihat

Tanggapan salah terhadap e-rokok

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

GOLONGAN dwi-pengguna yang menghisap rokok elektronik (e-rokok) dan rokok biasa pada satu-satu masa terdedah kepada pelbagai gejala kesihatan, gangguan psikologi dan ketagihan nikotin lebih tinggi berbanding individu yang hanya menghisap e-rokok.

Golongan ini turut terdedah kepada masalah kesihatan mental yang teruk seperti kemurungan dan kebimbangan selain berpotensi terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Ini kerana gabungan pelbagai jenis bahan kimia berbahaya dalam asap rokok dan cecair e-jus e-rokok mampu memberi implikasi buruk terhadap tubuh manusia.

Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penemuan itu dibuat berdasarkan kajian kelaziman dilakukannya selama setahun berkaitan penggunaan e-rokok dalam kalangan lebih 1,000 penuntut enam institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Lembah Klang.

Beliau berkata, penilaian tahap kesihatan mental penuntut dwi-pengguna ini dilakukan menerusi ujian saringan tekanan, kebimbangan dan tekanan (DASS) dilakukan di peringkat universiti.

“Pada peringkat awal, kemungkinan perokok mencuba beralih kepada e-rokok sebagai alternatif untuk berhenti merokok.

“Ini kerana mereka menyangka penggunaan e-rokok lebih selamat berbanding rokok biasa, tidak mengandungi tar dan karbon monoksida yang menjadi penyebab barah utama.

“Selain itu, kadar sedutan dan kepekatan nikotin boleh diselaraskan mengikut keperluan dan kehendak pengguna dan ini amat berbahaya,” katanya.

Untuk rekod, e-rokok pertama diperkenalkan ahli farmasi dari China, Hon Lik pada 2003.

Ia mula popular pada 2005 apabila diperkenalkan ke Eropah dan kini evolusi peranti itu dalam fasa generasi ketiga apabila ia menggunakan kuasa bateri boleh laras.

Menurut Dr Sharifa Ezat, penuntut ini sebaliknya ketagih terhadap dua sumber nikotin.

Mereka turut berasakan penggunaan e-rokok lebih mengikut trend semasa.

Kata Dr Sharifa Ezat, dalam pasaran semasa, kepekatan nikotin cecair e-jus ialah antara sifar (tanpa nikotin) hingga 60 miligram(mg)/mililiter (ml).

Penjualan cecair e-jus yang berleluasa termasuk dihasilkan secara haram dan pembelian dalam talian juga amat membimbangkan.

“Bahan kimia terkandung dalam cecair e-jus ialah nikotin, ‘Propylene Glycol’, ‘Glycerin’, bahan perasa, logam berat dan partikel ultra halus. Walaupun sebahagian cecair e-jus dikatakan tidak mengandungi nikotin, kandungan nikotin dalam jus itu tidak semestinya benar.

“Ada kemungkinan kandungannya berbeza daripada label pada botol,” katanya.

Jelasnya, kajian universiti di Dakota, Amerika Syarikat (AS) mendapati, 51 peratus cecair e-jus yang dijual dalam pasaran tidak melabelkan kandungan cecair e-jus sebenar.

“Ada cecair e-jus yang memiliki paras nikotin sebenar 172 peratus lebih tinggi berbanding pada label.

“Lebih membimbangkan, ada cecair e-jus dicampur bahan terlarang iaitu dadah atau kimia berbahaya tanpa pengetahuan pengguna,” katanya.

Laporan antarabangsa turut mendedahkan, 47 kematian remaja di AS dikaitkan dengan kecederaan paru-paru pada 2019.

Ini antara kes tragis membabitkan penggunaan minyak kanabis (THC) dan vitamin E asetat yang dicampur ke dalam cecair e-jus menyebabkan kerosakan teruk pada paru-paru sehingga mengakibatkan kematian.

Dr Sharifa Ezat berkata, perkembangan otak penuntut yang terdedah dengan nikotin daripada rokok biasa dan e-rokok berisiko terjejas akibat penggunaan nikotin dalam dos tinggi.

Menurut Sharifa Ezat, sama seperti asap rokok, e-rokok juga berpotensi memberi risiko kepada orang lain yang berada di sekeliling walaupun kurang kajian mengenai kesan asap sekunder e-rokok dijalankan setakat ini.

“Ini kerana tidak semua wap yang terhasil dihisap masuk ke dalam paru-paru. Sebahagian besar wap itu dan bahan kimia di dalamnya dihembus keluar.

“Walaupun asap e-rokok ini berbau wangi seperti makanan dan perisa buah-buahan, orang di sekeliling turut terkesan dengan bahan kimia yang dibebaskannya,” katanya.

Menurut Dr Sharifa Ezat, beberapa negara mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai terutama wanita mengandung dan kanak-kanak supaya tidak menghidu wap yang terhasil daripada e-rokok.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 6:00am
d