sihat

Jangan sampai merana...

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SEGELINTIR lelaki menganggap saiz zakar menjadi penentu untuk mencapai kepuasan diri dan pasangan semasa melakukan hubungan intim.

Sehinggakan ada yang sanggup melakukan tindakan pelik ‘mengubah suai’ alat kelamin kerana kemaruk mendapatkan saiz yang diinginkan semata-mata untuk meningkatkan keupayaan seks.

Kajian menunjukkan 45 peratus lelaki di dunia berasakan zakar mereka kecil dan kurang kejantanan.

Perunding Klinikal Andrologi Damai Service Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi berkata, trend keinginan lelaki menguatkan tenaga batin sudah berlaku sejak 20 tahun lalu, tetapi kebelakangan ini kaedah yang digunakan semakin pelik.

“Ada yang sanggup membahayakan nyawa demi memenuhi kemahuan yang tidak masuk akal itu.

“Pelbagai cara mereka lakukan untuk tujuan berkenaan (meningkatkan tenaga batin) seperti menggunakan minyak lintah, pam vakum dan suntikan silikon pada zakar,” katanya.

Menurutnya, tindakan paling keterlaluan ialah menanam besi bebola pada zakar disebabkan terpengaruh dengan ilmu mengarut yang kononnya kaedah itu dapat memberikan kenikmatan seks yang luar biasa.

“Sebenarnya, di sebalik keghairahan ini, tanpa mereka sedar, tindakan itu mendedahkan kepada risiko yang boleh meragut nyawa.

“Kesannya bukan saja merubah rupa bentuk zakar malah merosakkan fungsi sebenarnya,” katanya.

Katanya, tidak mustahil lelaki ini akan kehilangan ‘keistimewaan’ kelelakiannya untuk melakukan hubungan intim.

Dr Mohd Ismail berkata, antara kesan lain ialah menyakitkan pasangan ketika melakukan hubungan intim dan tidak boleh membuang air kecil dengan betul.

“Alat kelamin ini perlu dipulihkan semula menerusi rawatan khusus dengan berjumpa doktor perubatan,” katanya.

Beliau berkata, keinginan lelaki menguatkan tenaga batin berlaku apabila mereka mendapati ketegangan zakar atau kemampuan syahwatnya mulai berkurangan.

“Sebenarnya masalah ini disebabkan faktor penuaan yang membuatkan fungsi tubuh menurun dan secara tidak langsung menjejaskan prestasi tenaga batin.

“Agak mustahil bagi seorang lelaki berusia 40-an untuk memiliki kekuatan tenaga seperti usia 20-an,” katanya.

Namun, katanya, kemampuan seksual ini boleh dikekalkan menerusi penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Elakkan melakukan perkara yang boleh merosakkan tubuh seperti mengambil minuman keras, menghisap rokok, vape atau shisha.

“Digalakkan melakukan banyak aktiviti fizikal bagi melancarkan aliran darah untuk menguatkan otot di bahagian alat sulit,” katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, lelaki yang mempunyai masalah lemah tenaga batin dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat, melakukan pemeriksaan dan mengenal pasti punca kelemahan nafsu syahwat.

“Doktor akan melakukan saringan dan boleh mengetahui kemungkinan ada gangguan terhadap buah pinggang, hati dan hormon.

“Pada masa yang sama, doktor juga akan mencari pendekatan yang sesuai supaya lelaki terbabit dapat mengekalkan keupayaan seks,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga pesakit apabila menjalani pemeriksaan mendapati, dia sebenarnya mempunyai masalah buasir sehingga mengganggu otot kemut yang menyebabkan zakar tidak boleh mengekalkan ketegangan (alat kelamin lemah).

“Ramai mempunyai masalah ini (buasir), tetapi tidak menyedarinya. Cuma mereka hanya berasa tidak selesa di bahagian dubur.

“Sebab itu jangan panik jika mengalami masalah ini (prestasi syahwat menurun) dan segera berjumpa doktor,” katanya.

Jelasnya, lebih membimbangkan apabila ada yang mengambil jalan mudah menjadikan media sosial sebagai ‘doktor’ dan tempat rujukan.

“Akhirnya mereka terpedaya dengan ‘perundingan percuma’ itu lalu membeli ubat kekuatan tenaga batin menerusi dalam talian tanpa mengetahui kandungan ubat berkenaan.

“Penggunaan ubat kuat ini meningkatkan risiko mereka mendapat serangan jantung, kerosakan buah pinggang dan lebih banyak masalah kesihatan yang lain,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 9:13am
d