sihat

Proses penuaan boleh dilengahkan

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

BAGI wanita yang mementingkan penampilan, pastinya menganggap garisan atau kedutan pada wajah sebagai ‘cacat cela’ yang perlu dielak.

Perunding Dermatologi Dermalene, Dr Alina Hasni Mohamad Rashid berkata, garisan halus dan kedutan di wajah antara tanda proses penuaan di muka.

Beliau berkata, ia perkara biasa yang terjadi kepada sesiapa saja apabila meningkat dewasa termasuk wanita.

“Namun, masalah ini menjadi kebimbangan utama kepada wanita kerana pada tahap ini, kecantikan mereka mulai pudar.

“Proses penuaan berlaku secara berperingkat bermula daripada kulit, lemak di muka dan tulang tengkorak di bahagian mata, katanya.

Menurutnya, perubahan pada kulit membabitkan kemunculan kedutan, kekeringan dan tompokan seperti jeragat pada wajah.

“Terdapat dua jenis kedutan pada wajah iaitu dinamik (sementara) dan kekal.

“Kedutan dinamik ini boleh dilihat apabila individu membuat ekspresi muka seperti senyum, mengerutkan dahi dan tersengih hingga menampakkan kedutan kulit pada hujung mata, katanya.

Dr Alina Hasni berkata, sekiranya sering melakukan ekspresi hendak marah, garisan pada dahi akan kelihatan.

“Bagi kedutan dinamik ini, kedutan atau garisan muka tidak muncul jika tidak membuat sebarang ekspresi di wajah.

“Bagaimanapun, kedutan dinamik ini boleh menjadi kedutan kekal satu masa nanti apabila mencapai usia warga emas.

Menurut beliau, kedutan kekal terjadi disebabkan faktor usia.

“Contoh yang boleh kita lihat ialah kedutan kulit dalam kalangan warga emas. Ini disebabkan perubahan daripada kedutan dinamik kepada kekal, katanya.

Menurut Dr Alina, perubahan yang kedua ialah kekeringan pada kulit.

Ini berlaku apabila kolagen yang bertindak sebagai struktur sokongan dan keanjalan kulit berkurangan.

Ia secara tidak langsung turut menyebabkan kulit menjadi kendur dan berkedut.

“Kulit yang kerap terdedah kepada sinaran ultra ungu (UV) dan radikal bebas mengurangkan keupayaan badan menghasikan kolagen.

“Ini mengakibatkan kemunculan tanda penuaan iaitu garisan halus, kedutan dan kulit kendur, katanya.

Beliau berkata, tanda proses penuaan seterusnya ialah kemunculan tompokan pada kulit seperti jeragat.

“Apabila usia meningkat, melanosit (sel di dalam epidermis kulit yang menghasilkan pigmen) menjadi tidak stabil dan terlalu aktif.

“Ini menyebabkan kulit mendapat lebih banyak pigmen yang menjadikan sel kulit mudah berjeragat, katanya.

Berkaitan proses penuaan lemak di muka pula, Dr Alina Hasni berkata, semakin meningkat usia menyebabkan pipi ‘jatuh’ akibat isi pipi (lemak) berkurangan.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan otot pipi menjadi lemah dan lembik.

“Pada tahap ini, tanda penuaan semakin ketara ditambah pula kedutan yang kian jelas di muka, katanya.

Katanya, proses penuaan terakhir berlaku pada tulang tengkorak di bahagian mata apabila ruang itu semakin besar apabila usia meningkat.

“Struktur tulang tengkorak bayi dan remaja dengan orang tua berbeza kerana orbit (tulang mata) ketika muda ialah kecil. Tetapi saiz itu semakin luas apabila dewasa kerana dimamah usia.

“Sebab itu, masalah lingkaran gelap bawah mata dan mata cengkung kehitaman sering dialami warga emas, katanya.

Jelasnya, 80 hingga 90 peratus punca kedutan di muka disebabkan faktor luaran seperti pendedahan berlebihan kepada sinaran UV dan radikal bebas.

Sementara itu, katanya, trend penuaan biasanya 30 hingga 40 peratus adalah berpunca daripada genetik.

“Perokok kelihatan lebih tua kerana tahap antioksida mereka lebih rendah berbanding bukan penghisap rokok.

“Apabila kekurangan antioksida, radikal bebas ini akan merosakkan kulit dan menjadi lebih tua sebelum usia, katanya.

Dr Alina berkata, penuaan ialah proses yang tidak boleh dielakkan, namun cara terbaik membantu melengahkan proses ini ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat, kerap tersenyum dan mengurangkan tekanan.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 7:00am
d