sihat

'Bersabar dulu, fikir positif'

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

'ADAKAH rawatan kesuburan tidak penting dan kami bukan keutamaan?'.

Itu antara persoalan yang membelenggu banyak pasangan mengalami masalah kesuburan dan sedang mengikuti atau menunggu giliran rawatan kesuburan persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji ketika ini.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menyebabkan usaha mereka menjalani rawatan itu tertangguh.

Pakar Kesuburan dan Sakit Puan, Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid berkata, kebanyakan pusat kesuburan di hospital awam terpaksa menghentikan seketika rawatan ini kerana menumpukan tenaga dan sumber kepada perkhidmatan kritikal yang lebih memerlukan.

Beliau berkata, pusat kesuburan swasta turut tidak terkecuali terkesan dan terpaksa melakukan perubahan tertentu bagi menghadapi situasi yang belum pernah dihadapi sebelum ini.

"Rawatan kesuburan tidak seperti rawatan elektif yang lain kerana ia sangat bergantung kepada masa atau 'time sensitive'.

"Usia wanita adalah faktor penting yang menentukan kejayaan rawatan kesuburan termasuk rawatan IVF," katanya.

Menurutnya, kejayaan rawatan IVF bagi wanita yang berusia 35 tahun ke bawah adalah sekitar 40 peratus.

"Mereka yang berusia 40 tahun ke atas, peratusan kejayaan rawatan itu akan menurun kepada kurang daripada lima peratus.

"Statistik menunjukkan peratus kejayaan rawatan ini menurun 0.3 peratus setiap bulan bermula daripada usia wanita 34 tahun.

"Ini bermakna selepas enam bulan, peratusan kejayaan akan menurun hampir dua peratus," katanya.

Dr Salleha berkata, sebahagian besar wanita yang memerlukan rawatan IVF adalah mereka yang berusia di antara pertengahan hingga lewat 30-an.

"Lebih lama rawatan ini tertangguh maka peratusan berjaya semakin berkurang.

"Ada pasangan tidak dapat melakukan rawatan IVF kerana usianya melebihi had minimum kelayakan bantuan rawatan ini iaitu 43 tahun," katanya.

Beliau berkata, ada pasangan tersepit di antara keinginan mendapatkan zuriat dan kos rawatan tinggi sekiranya melakukan rawatan IVF di pusat kesuburan swasta.

Namun, katanya, masih ada klinik kesuburan swasta meneruskan rawatan terutama bagi mereka yang baru didiagnosis penyakit barah.

"Mereka diberi pilihan untuk melakukan rawatan pembekuan telur, sperma atau embrio sebelum menerima rawatan kemoterapi.

"Ada juga memilih untuk meneruskan rawatan terutama bagi mereka yang mempunyai kurang simpanan telur akibat faktor usia atau penyakit seperti endometriosis," katanya.

Oleh itu, katanya, sokongan dan dorongan perlu diberikan kepada pasangan ini.

Masyarakat seharusnya memahami masalah (kesuburan) dihadapi mereka.

"Bagi pasangan yang menunggu rawatan kesuburan, digalakkan meneruskan gaya hidup sihat dan berfikiran positif.

"Berbincang bersama pakar kesuburan bagi mendapatkan pendapat terbaik yang boleh dilakukan ketika PKP dan merancang pelan rawatan yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 6:30am
d