sihat

Peluang besar sembuhkan strok

Nor 'Asyikin Mat Hayin

"SAYA diserang angin ahmar semasa tidur dan ketika itu dalam pantang 14 hari selepas melahirkan anak kelima," kata Azliana Faizah Amir Sharipuddin, 38.

Azliana Faizah adalah bekas pesakit angin ahmar yang pulih selepas menjalani rawatan menggunakan teknik trombektomi endovaskular di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 17 November lalu.

Teknik rawatan ini digunakan untuk mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah besar di otak, menyebabkan angin ahmar.

Berkongsi pengalaman diserang penyakit itu, Azliana Faizah berkata, sebaik terjaga daripada tidur, dia mendapati anggota bahagian kanan tubuhnya tidak boleh bergerak dan percakapan kurang jelas.

"Saya terus dibawa ke PPUM dan hasil ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati ada salur darah otak tersumbat.

"Saya kemudian dibawa ke unit radiologi intervensi bagi menjalani prosedur mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah berkenaan. Prosedur rawatan memakan masa 30 minit.

"Sejurus menjalani prosedur itu, saya boleh mengangkat tangan dan kaki selain mampu berjalan seperti biasa sehari kemudian," katanya.

Azliana Faizah yang menetap di Bangsar, Kuala Lumpur berkata, dia bersyukur dirawat menggunakan teknik berkenaan kerana membantunya pulih sepenuhnya daripada angin ahmar.

"Tanpa rawatan ini, saya mungkin masih terlantar apatah lagi perlu memikirkan lima anak yang masih kecil.

"Sudah sembilan bulan saya tidak dapat menjenguk anak bongsu yang dijaga ibu di kampung kerana saya juga menghidap sakit jantung.

"Masalah jantung ini punca saya diserang angin ahmar," katanya.

Pakar Radiologi Neuro Intervensi PPUM, Prof Dr Khairul Azmi Abd Kadir berkata, angin ahmar boleh dirawat menggunakan teknik rawatan ini dan ramai pesakit mendapat manfaat sejak kaedah rawatan ini diperkenalkan di PPUM pada 2014 .

Beliau berkata, prosedur rawatan ini membabitkan satu tebukan kecil pada salur darah di bahagian paha bagi melakukan angiogram salur darah otak.

"Tiub dimasukkan daripada lubang kecil pada salur darah paha hingga mencapai salur darah pada otak yang tersumbat.

"Melalui teknik ini (trombektomi endovascular), satu alat khas dimasukkan (pada salur darah) bagi menarik keluar atau menyedut darah beku yang menyumbat salur darah pada otak.

"Proses ini perlu dilakukan dengan segera dan teliti untuk memastikan pesakit selamat serta meningkatkan harapan pesakit pulih," katanya.

Menurut Dr Khairul Azmi, walaupun saiz darah beku yang menyumbat salur darah otak itu kecil, ia boleh memberikan kesan teruk terhadap pesakit iaitu lumpuh, kecacatan kekal atau meninggal dunia.

Dr Khairul Azmi berkata, kajian menunjukkan, setiap minit salur darah tersumbat, dua juta sel otak akan rosak dan hilang fungsi.

Sejak 10 tahun lalu, angin ahmar adalah penyebab ketiga kematian di Malaysia.

"Purata sekurang-kurangnya seorang pesakit meninggal dunia setiap jam akibat penyakit ini," katanya.

Menurutnya, pesakit angin ahmar perlu dibawa segera ke hospital jika mengalami gejala penyakit ini bagi menyelamatkan nyawanya.

Teknik rawatan ini boleh diberi dalam tempoh masa 24 jam selepas gejala angin ahmar bermula berdasarkan maklumat pengimejan.

"Pesakit yang menjalani rawatan menggunakan teknik ini mempunyai peluang sembuh di antara 40 hingga 50 peratus berbanding tanpa rawatan iaitu hanya 13 peratus.

"Bagaimanapun, kesedaran menggunakan kaedah rawatan ini di Malaysia masih rendah iaitu kurang daripada 100 pesakit setahun berbanding di Singapura iaitu 250 pesakit setahun.

"Tidak ramai mengetahui teknik rawatan ini ditambah pula kos peralatan agak tinggi iaitu di antara RM15,000 hingga RM30,000," katanya.

Setakat ini, teknik rawatan ini disediakan di PPUM, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tunku Canselor Muhriz (HTCM), Hospital Pembelajaran Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dan Hospital Sungai Buloh.

"Kita juga memiliki kepakaran neuro intervensi mencukupi di lima hospital berkenaan.

"Sebagai contoh, purata pesakit angin ahmar mendapatkan rawatan di PPUM ialah 480 orang setahun," katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 6:15am
d