sihat

Ramai penghidap tiada gejala

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

DIANGGARKAN, 95 peratus penduduk tidak menyedari yang mereka hidup bersama virus hepatitis.

Ini kerana sebahagian besar pesakit yang menghidap hepatitis tidak menunjukkan sebarang gejala.

Hepatitis ialah jangkitan yang mengakibatkan keradangan dan kerosakan hati.

Keradangan berlaku apabila tisu badan cedera atau dijangkiti kuman berpunca daripada ubat-ubatan termasuk ubat herba, alkohol serta sistem ketahanan badan.

Pakar Gastroenterologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tee Teong Jin berkata, virus hepatitis adalah punca kematian ketujuh paling biasa di dunia.

Menurutnya, daripada semua kematian berkaitan virus itu, 48 peratus disebabkan virus hepatitis B dan hepatitis C.

"Walaupun hepatitis B belum mempunyai penawar, rawatan berkesan dapat mengelakkan komplikasi.

"Rawatan sedia ada masih tidak dapat menyembuhkan sepenuhnya penyakit ini dan pesakit terpaksa melalui terapi sepanjang hayat.

"Tidak semua pesakit yang disahkan positif hepatitis B memerlukan rawatan," katanya.

Beliau berkata, rawatan hepatitis B hanya dilakukan apabila virus itu menjadi aktif dan terbentuknya penyakit barah hati.

Katanya, pesakit yang dijangkiti hepatitis B disaran menjalani pemeriksaan darah secara kerap bagi mengesan virus itu.

"Hepatitis B dirawat menggunakan ubat seperti Peg-Interferon, Entecavir dan Tenofovir.

"Rawatan awal ke atas pesakit boleh mengelakkan sirosis iaitu penyakit hati tahap akhir dan barah hati," katanya.

Dr Tee berkata, hepatitis B boleh dielak menerusi suntikan vaksin seperti vaksin 'Recombivax HB',

'Engerix-B', 'Heplisav-B'' yang dihasilkan menggunakan teknik gabung semula ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Terapi bagi hepatitis B ialah 'nucleotide analogs' (entecavir, tenofovir) dan 'peg-inteferon'.

"Pesakit kronik hepatitis B disarankan melakukan pemeriksaan susulan untuk ujian fungsi hati dan ultrabunyi setiap enam bulan," katanya.

Beliau berkata, pesakit hepatitis B dan C diingatkan mengelak makan ubat ejen hepatotoksik, herba, tahan sakit dan melukis tatu, tindik badan dan mengamalkan seks selamat.

Selain itu, katanya, pesakit perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti kerap bersenam, pola pemakanan seimbang dan rehat secukupnya.

"Berfikir secara positif, sentiasa melakukan pemeriksaan susulan, ujian saringan awal dan pemantauan yang kerap dapat mencegah penyakit ini," katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 6:58am
d