sihat

Ambil tahu gejala endometriosis

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Dianggarkan 33 peratus wanita di Malaysia yang menghidap endometriosis dan menderita dalam diam selama lebih sembilan tahun sebelum mendapatkan rawatan.

Endometriosis ialah keradangan yang berlaku apabila endometrium, iaitu lapisan tisu yang biasanya menyelaputi bahagian dalam rahim, tumbuh di luar rahim dalam tisu atau organ lain.

Bagaimanapun, masih ramai wanita kurang pengetahuan mengenai penyakit yang boleh mengancam kesuburan mereka.

Oleh itu, MyEndosis melancarkan laman web untuk memudahkan wanita mendapat maklumat dan rawatan awal penyakit berkenaan.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Imelda Balchin berkata, endometriosis dialami oleh seorang daripada 10 wanita pada tahun kesuburan mereka.

"Namun, tidak ramai menyedari gejala dan cara menguruskan penyakit ini. Endometriosis ialah penyakit kronik yang menyakitkan dan boleh memberi kesan kepada kesuburan serta kualiti hidup pesakit.

"Gejala dialami setiap pesakit mungkin berbeza, khususnya daripada segi jenis dan tahap kesakitan dialami hingga membuatkan penghidapnya tidak bermaya," katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan, seorang wanita yang menderita sakit pelvis boleh mengambil masa sehingga 11 tahun sebelum disahkan menghidap endometriosis.

Oleh itu, katanya, wanita yang mempunyai gejala endometriosis termasuk sakit pelvis kronik, sakit semasa atau selepas mengadakan hubungan seks dan ketidaksuburan perlu mendapatkan rawatan segera.

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Patricia Lim Su Lyn berkata, beliau sangat menekankan kepentingan pengurusan endometriosis peringkat awal bagi mengelak penyakit ini menjadi lebih teruk.

"Buat masa ini, tiada rawatan yang boleh menyembuhkan endometriosis juga terapi yang dapat mencegah penyakit daripada bertambah teruk.

"Tetapi terdapat pilihan rawatan yang boleh mengurangkan gejala dan mencegah endometriosis daripada berulang," katanya.

Jelasnya, tujuan rawatan endometriosis ialah untuk melegakan kesakitan, melambatkan pertumbuhan tisu seperti endometrium, menambah baik atau melindungi kesuburan dan mencegah penyakit daripada berulang.

"Terdapat pilihan rawatan berkesan untuk endometriosis iaitu terapi hormon yang bertujuan mengawal pembentukan tisu endometrium kepada histerektomi atau pembuangan uterus menerusi pembedahan," katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 6:43am
d