sihat

Hindari penularan kepialu

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

PENGENDALI makanan seperti tukang masak, penghidang dan pencuci pinggan sama ada di gerai atau restoran diwajibkan mengambil suntikan vaksin tifoid (kepialu).

Pegawai Perubatan Klinik Tihani, Dr Sharifah

Huda Amirah Sayid Abdullah berkata, suntikan ini bertujuan mengelak pengendali makanan dijangkiti penyakit itu seterusnya menjadi pembawa penyakit tifoid dan menjangkiti pelanggan di restoran.

"Oleh itu, pengendali makanan perlu memastikan kesihatan dan kebersihan mereka terjamin dan mendapat suntikan vaksin tifoid," katanya.

Beliau berkata, demam tifoid ialah jangkitan bawaan makanan disebabkan bakteria 'salmonella typhi'.

"Bakteria ini terdapat dalam darah, najis pesakit dan najis pembawa penyakit.

"Pembawa penyakit tifoid sukar dikenal pasti kerana mereka tidak mempunyai gejala demam tifoid dan sentiasa mengeluarkan bakteria di dalam najis lalu menjangkiti orang lain,

" katanya.

Menurutnya, ada dua jenis vaksin tifoid biasa digunakan sama ada kuman yang dimatikan atau kuman dilemahkan.

"Secara asasnya, vaksin yang menggunakan kuman hidup ini selalunya diberikan dalam bentuk pil, selang sehari selama empat hari.

"Vaksin yang menggunakan kuman mati pula digunakan dengan secara suntikan," katanya.

Dr Sharifah Huda berkata, vaksin bentuk pil tidak boleh diberikan kepada bayi, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai daya tahan rendah iaitu golongan berdepan masalah saluran penghadaman termasuk wanita hamil.

"Vaksin yang disuntik menggunakan kuman dilemahkan adalah selamat jika diberikan kepada wanita hamil.

"Wanita hamil yang diberikan suntikan vaksin tifoid, tidak perlu bimbang kerana suntikan itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan kandungan," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 6:30am
d