sihat

Susu kambing besar manfaatnya!

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

TIDAK ramai gemar minum susu kambing kerana baunya sedikit hamis yang boleh mencetuskan rasa loya kepada individu yang sensitif terhadap bau berkenaan.

Ini menyebabkan ramai lebih cenderung memilih susu lembu atau soya bagi mendapatkan sumber kalsium penting untuk kesihatan dan mengekalkan tulang yang kuat.

Susu juga kaya dengan sumber vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh bagi kanak dan orang dewasa.

Neuroversiti mendedahkan khasiat susu kambing berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dari University of Spain, Sepanyol pada 2007.

Perunding Kanan Malaysia Brain Academy, Dr Rizal Abu Bakar berkata, susu kambing mempunyai kalsium tinggi dan secawan susu itu membekalkan 327 miligram (mg) kalsium.

"Susu ini juga kaya dengan vitamin D iaitu satu nutrien yang membantu penyerapan kalsium dalam tubuh dan seterusnya membantu menguatkan tulang.

"Selain itu, ia mempunyai protein yang bertindak sebagai ejen antiosteoporosis dikenali sebagai CSN1S2.

"Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'Molecule' pada 2014, susu kambing dapat menghalang berlakunya penyakit tulang rapuh (osteoporosis) terhadap pesakit yang mengidap artritis rheumatoid," katanya.

Dr Rizal berkata, kandungan 'conjugate linoleic acid' pada susu kambing membantu perkembangan otak.

"Kehadiran lipid dalam susu kambing pula dapat mengurangkan masalah kebimbangan," katanya.

Menurutnya, susu kambing turut bertindak sebagai ejen metabolik yang baik kerana mampu meningkatkan penggunaan metabolik mineral seperti zat besi, magnesium, kalsium dan fosforus.

"Ia mempunyai 'A2 beta-casein' (protein) iaitu lebih baik daripada 'A1 beta-casein' yang terdapat dalam susu lembu.

"A2 beta-casein adalah sejenis beta-casein yang lebih selamat berbanding 'A1 beta-casein', dipercayai boleh menyebabkan penyakit kencing manis tahap satu," katanya.

Kata Dr Rizal, A2 beta-casein dalam susu kambing menyamai susu ibu yang sangat baik untuk kesihatan manusia.

Ia turut mampu mengurangkan alahan selepas habis tempoh penyusuan ibu.

Dr Rizal berkata, khasiat susu kambing sangat baik untuk kesihatan jantung kerana kandungan magnesium dalam susu berkenaan.

"Ia (magnesium) seperti yang dilaporkan di dalam 'International Journal of Food Properties' tahun lalu, ia adalah mineral yang baik untuk jantung dan membantu mengekalkan denyutan normal serta menghalang pembentukan darah beku.

"Magnesium berfungsi bersama vitamin D adalah nutrisi penting untuk jantung.

"Asid lemak rantaian sederhana pada susu kambing pula lebih tinggi berbanding susu lembu. Ia membantu menurunkan tahap kolesterol dan bagus merawat penyakit koronari," katanya.

Jelas Dr Rizal, unsur kimia pada susu kambing iaitu asid lemak dan trigliserida berupaya meningkatkan kesihatan kulit.

Selain itu, ia kaya dengan vitamin A yang sangat diperlukan kulit.

"Pada masa yang sama, kandungan laktid asid dalam susu kambing dapat melembap dan mencerahkan kulit.

"Ditambah pula penggunaan susu kambing untuk mencuci muka dapat meningkatkan kesihatan kulit," katanya.

Kata Dr Rizal lagi, istimewanya susu kambing ialah ia mencetuskan tindak balas imun adaptif dan semula jadi yang berupaya menghalang keradangan dalam tubuh manusia.

"Ini kerana komponen oligosakarida pada susu kambing yang bersifat antiradangan dapat mengurangkan keradangan penyakit usus," katanya.

Beliau berkata, kandungan laktosa yang rendah menjadikan susu kambing sebagai pilihan baik bagi mereka yang mempunyai masalah intoleransi laktosa.

"Sifatnya mudah hadam menjadikan ia sesuai diminum bagi mereka yang mempunyai masalah perut sensitif.

"Sebaik-baiknya pastikan susu kambing yang dipilih tidak dicampur bahan perasa, pewarna dan pengawet bagi mengekalkan keaslian serta khasiat susu berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 6:10am
d