sihat

Bahaya senaman paksaan

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

"KAWAN saya berusia 30 tahun dan baru memulakan aktiviti senaman.

"Dia pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami kesakitan badan dan air kencingnya berubah warna menjadi gelap," kongsi seorang wanita kepada pegawai perubatan sebuah hospital swasta.

Pastinya kejadian seperti ini mencetuskan persoalan selain rasa ingin tahu puncanya.

Sihat minggu ini mendapatkan Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman, untuk berkongsi lanjut mengenai penyakit dihidapi wanita.

Dr Arisman berkata, apa yang dialami wanita itu kemungkinan besar ialah 'rabdomiolisis' disebabkan komplikasi senaman yang berlebihan.

Menurutnya, senaman berlebihan akan memaksa otot lebih bekerja secara paksaan dan membuatnya cedera.

"Contohnya, aktiviti berlari atau berbasikal melebihi tahap kemampuan badan atau segala jenis aktiviti yang berlebihan.

Ini terutama dalam kalangan mereka yang masih baru memulakan aktiviti senaman atau bukan atlet.

"Kecederaan otot kepada atlet dan mereka yang bersenam, mula berlaku daripada peringkat ketegangan otot dan ia boleh dikategorikan kepada tahap satu, dua serta tiga.

"Kerosakan otot paling kritikal ialah apabila ia mengalami koyakan teruk, seterusnya menyebabkan peningkatan komponen tertentu dalam badan yang berbahaya.

"Keadaan kompleks ini dinamakan sebagai rabdomiolisis," katanya.

Beliau berkata, rabdomiolisis ialah sindrom disebabkan oleh kecederaan pada otot rangka dan membabitkan kebocoran sejumlah
besar kandungan intraselular yang berpotensi menjadi toksik di dalam plasma.

"Komponen otot intraselular yang dibebaskan seperti mioglobin, kreatina kinase, aldolase, laktat dehidrogenase, elektrolit masuk ke dalam aliran darah dan ruang ekstraselular.

"Selepas kecederaan otot, plasma mioglobin yang dibebaskan berlebihan itu boleh menyebabkan kesan toksik pada organ buah pinggang seperti penyumbatan tiub ginjal, nefrotoksiksitas, vasokonstriksi intrarenal dan kecederaan buah pinggang akut," katanya.

Dr Arisman berkata, hampir 50 peratus gejala rabdomiolisis ditemui pada orang dewasa seperti sakit otot, lemah seluruh badan dan warna air kencing berubah menjadi gelap.

"Tiga gejala dan tanda ini adalah triad klasik pada penyakit rabdomiolisis.

"Gejala tidak khusus pula ialah demam, mual, muntah dan sakit perut.

"Melalui pemeriksaan pula, tandanya adalah pembengkakan, otot terlalu sakit apabila ditekan, perubahan warna kulit dan otot lemah di tempat yang tercedera," katanya.

Menurut Dr Arisman, rabdomiolisis boleh menyebabkan komplikasi lebih buruk jika dibiarkan tanpa rawatan segera.

"Pesakit akan mengalami gangguan keseimbangan elektrolit seperti peningkatan garam kalium ke paras sangat tinggi (hiperkalemia).

"Ini boleh disebabkan oleh kecederaan otot dan juga tanda awal kerosakan buah pinggang.

"Kira-kira 10 hingga 40 peratus pesakit mengalami gangguan ini (hiperkalemia) dan jika dibiarkan terlalu tinggi (keseimbangan elektrolit), ia akan menyebabkan aritmia iaitu irama jantung tidak stabil dan boleh mengancam nyawa," katanya.

Jelas Dr Arisman, pengurangan garam kalsium ke paras sangat rendah (hipokalsemia) juga boleh mencetuskan gangguan irama jantung, gangguan pengecutan otot dan seterusnya paling bahaya ialah mengakibatkan sawan.

"Kekurangan albumin dalam darah (hipoalbuminemia) adalah disebabkan kebocoran protein yang keluar melalui air kencing.

"Selain itu peningkatan asid urik (hiperurisemia) berpunca daripada otot yang cedera boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang," katanya.

Dr Arisman berkata, komplikasi kedua ialah sindrom kompartmen iaitu keadaan serius terjadi apabila terdapat banyak tekanan di dalam ruang otot.

"Bengkak yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam kompartmen (kumpulan tisu otot, saluran darah, saraf di dalam lengan dan kaki yang dikelilingi membran sangat kuat yang dipanggil fasia) boleh berakhir dengan fasiotomi (pembedahan atau insisi pada fasia)," katanya.

Dr Arisman berkata, komplikasi seterusnya ialah kerosakan buah pinggang akut (AKI) yang hampir 35 peratus orang dewasa akan mengalami AKI jika terjadi rabdomiolisis.

"Ia disebabkan oleh hipovolemia (kurang isipadu darah), vosokonstriksi (saluran darah menyempit) dan ketoksikan mioglobin yang berlaku dalam tempoh 12 hingga 72 jam selepas kecederaan otot.

"Sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan seterusnya pesakit terpaksa menjalani rawatan dialisis," katanya.

Dr Arisman berkata, komplikasi terakhir ialah koagulasi intravaskular tersebar iaitu masalah pembekuan darah yang boleh menyebabkan kematian.

Jelasnya, langkah pencegahan penting yang boleh dilakukan bagi mengelakkan rabdomiolisis ialah minum air secukupnya sewaktu dan selepas bersenam.

"Sama ada minuman manis atau air kosong kerana kita memerlukan jumlah air yang mencukupi dalam badan untuk mencairkan air kencing.

"Ini untuk mengelakkan dehidrasi atau kekurangan cecair dalam badan bagi mengelakkan kerosakan pada buah pinggang. Sebaiknya ambil air isotonik yang mengandungi lebih elektrolit.

"Jika terjadi kecederaan otot, maka komplikasi itu dapat dirawat dengan hidrasi yang mencukupi.

"Minum air adalah pencegahan dan rawatan awal bagi masalah rabdomiolisis," katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Arisman, tidak digalakkan minum air secara berlebihan dalam satu masa.

"Buah pinggang normal bagi orang dewasa sihat hanya boleh mengeluarkan kira-kira 20 hingga 28 liter air kencing sehari, iaitu sekitar satu liter per jam," katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 7:00am
d