sihat

9,000 kit percuma

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) menyediakan 9,000 kit #CovidHomeCare sebagai sokongan kepada pesakit Covid-19 kurang bernasib baik yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Golongan itu membabitkan warga asing, Orang Asli, B40 dan mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Setiausaha Kehormat PBSM Hakim Hamzah berkata, kit itu dilengkapi oxymeter, kit ujian calitan, termometer, pelitup muka, cecair pembasmi kuman, paracetamol, 'lozenges' dan ubat-ubatan asas lain untuk persediaan penjagaan Covid-19 di rumah.

Beliau berkata, mereka yang memerlukan sokongan kesihatan mental semasa melawan virus ini boleh menghubungi rangkaian Sokongan Psiko-Sosio Kesihatan Mental (MHPSS) PBSM di talian 1700-811-007 atau 6012-6901191 untuk Semenanjung Malaysia dan 088-416-911 atau 017-803 6911 bagi Sabah dan Sarawak.

"Kit ini boleh didapati di pusat PBSM di Lembah Klang, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Orang ramai boleh memilih untuk penghantaran atau mengambil sendiri di lokasi disenaraikan. Pesakit Covid-19 akan menerima kit ini melalui penghantaran.

"Untuk mendapatkan kit #CovidHomeCare, orang ramai perlu menghantar permintaan mereka melalui 'google form', 'delivery depends on the availability of kits'," katanya.

Hakim berkata, ketika negara beralih ke fasa endemik, perlu dipastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam peralihan ini.

"Kami menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes positif daripada varian Omicron.

"Walaupun ramai yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk menjaga diri daripada segi fizikal, mental serta emosi semasa kuarantin di rumah, namun golongan kurang bernasib baik dan berisiko memerlukan sokongan tambahan dalam mempelajari cara melindungi dan mencegah kesan lebih buruk jangkitan itu," katanya.

Katanya, sekiranya golongan ini dijangkiti Covid-19, kit #CovidHomeCare dan rangkaian MHPSS dapat membantu meringankan beban mereka.

Beliau berkata, Kit #CovidHomeCare mula diedarkan dalam misi bantuan mangsa banjir, baru-baru ini.

"Ini untuk memastikan mereka dapat memantau sebarang gejala dengan berkesan dan persediaan diri daripada sebarang wabak Covid-19.

"Kita juga mengagihkan kit ini di 25 lokasi dan pusat pemindahan banjir," katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2022 @ 6:11am
d