sihat

Jadi inspirasi, kawal emosi

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Ungkapan ini menggambarkan betapa besarnya kasih sayang ibu bapa kepada anak-anaknya.

Mereka insan paling rapuh hatinya apabila mengetahui anak-anaknya menghidap penyakit kronik.

Malah, mereka dengan setulus hati sanggup supaya penyakit dihadapi anak dipindahkan kepada mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan berkata, penerimaan ibu bapa ketika pertama kali mengetahui anaknya didiagnosis menghidap barah adalah berbeza mengikut tahap kesediaan mereka menerima berita tidak dijangka itu.

Menurutnya, ia sesuatu berita yang amat mengejutkan bagi ibu bapa dan boleh memberi kesan kepada emosi mereka.

"Seterusnya, ibu bapa cuba menafikan dan percaya bahawa ia tidak benar atau berita yang salah. Kemungkinan mereka mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat sebenar.

"Proses pengendalian emosi ibu bapa boleh berlaku dengan lebih baik sekiranya mereka mempersiapkan diri dengan minda yang terbuka dan berlapang dada bahawa ada perkara di luar kawalan boleh berlaku dalam kehidupan," katanya.

Dr Hanina Halimatusaadiah berkata, perkara kedua ialah dengan memberi tempoh bertenang pada diri. Sebaiknya ibu bapa tidak terus memberikan respons.

"Sebaliknya, tenangkan diri dengan cuba lakukan teknik pernafasan 5:5:5 iaitu tarik nafas menerusi hidung (lima saat), tahan nafas (lima saat ) dan lepaskannya menerusi mulut (lima saat).

"Tempoh 15 saat ini sangat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih rasional, walaupun ia dalam keadaan yang sukar. Bagi Muslim, mereka boleh berzikir untuk menenangkan diri," katanya.

Kata Dr Hanina Halimatusaadiah, sokongan daripada pakar perubatan juga sangat membantu.

"Pengalaman saya sendiri sebagai pengamal psikologi yang pernah mempunyai anak berpenyakit kronik, mendapati cara pakar perubatan menyampaikan berita adalah sangat mempengaruhi emosi.

"Daripada aspek ini, ia membabitkan kemahiran komunikasi untuk pesakit dan penjaga pesakit kronik," katanya.

Dr Hanina Halimatusaadiah berkata, sebenarnya saat pertama kali menerima berita anak berpenyakit kronik, ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa itu detik perubahan dalam kehidupan mereka.

Jelasnya, apabila mereka mula melalui rutin penjagaan dan rawatan anak seperti kemoterapi, ketika itu emosi mereka diuji.

"Ada ibu bapa kecewa dan berasakan kehidupan yang tidak adil. Apa lagi apabila melihat keadaan anak tidak seperti anak orang lain yang sihat. Emosi mereka mudah tersentuh dan sangat sensitif.

"Ada ibu bapa mengalami kemurungan dan enggan keluar rumah, enggan bercampur dengan orang, tidak boleh melihat atau mendengar suara anak orang lain yang sebaya dengan anak mereka," katanya.

Kata Dr Hanina Halimatusaadiah, selain kemurungan, ibu bapa juga cenderung mengalami kebimbangan terutama terhadap perkara yang difikirkan boleh memudaratkan keadaan anak.

"Sebolehnya, ibu bapa akan 'menyembunyikan' anak di tempat yang dirasakan selamat, tidak terdedah kepada jangkitan virus atau bakteria.

"Rumah adalah tempat paling selamat. Ada kalanya tingkah laku ibu bapa yang terlalu berhati-hati dan bersifat melindungi anak boleh disalah tafsir oleh orang lain yang tidak memahami kebimbangan ibu bapa, seandainya anak mereka jatuh sakit kerana dijangkiti," katanya.

Kata Dr Hanina Halimatusaadiah, bagi mengatasi kemurungan dan kebimbangan, ibu bapa sangat memerlukan sokongan emosi terutama daripada pasangan masing-masing, ahli keluarga dan rakan-rakan.

"Ibu bapa juga disaran menyertai kumpulan sokongan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang turut mempunyai anak berpenyakit kronik.

"Ini penting bagi bertukar pandangan mengenai ilmu dan kemahiran untuk menghadapi situasi yang mencabar.

"Mungkin ada teknik atau strategi yang boleh dikongsi daripada ibu bapa lain yang lebih awal melalui proses penjagaan dan rawatan anak.

"Ibu bapa juga perlu sentiasa merujuk pakar perubatan dalam mendapatkan pengetahuan mengenai penyakit anak, kaedah penjagaan yang betul dan memahami sepenuhnya proses serta kesan daripada rawatan dijalani anak," katanya.

Dr Hanina Halimatusaadiah berkata, ibu bapa yang tidak dapat mengurus emosi dengan baik boleh menyebabkan 'kecederaan' emosi berpanjangan.

"Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kesan negatif jangka panjang.

"Ibu bapa berpotensi mengalami gangguan emosi kronik dan ia sangat tidak baik untuk kesihatan. Di samping itu, ia turut memberi kesan terhadap kualiti hidup anak," katanya.

Oleh itu, kata Dr Hanina Halimatusaadiah, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa berfikiran positif dan jadikan diri sebagai sumber inspirasi kepada anak yang berjuang melawan sel barah.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan mengenai penyakit anak dan cara rawatan yang terbaik dengan merujuk kumpulan pakar perubatan.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 6:30am
d