sihat

7 sebab perlu ambil vaksin

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Virus Covid-19 semakin lenyap, namun muncul pula penyakit berjangkit lain yang menghantui masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah global.

Antara penyakit berjangkit membimbangkan ialah influenza dan penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD).

Sejak beberapa minggu lalu, muncul beberapa kluster penyakit seperti penyakit seperti influenza (ILI) di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor dan sekolah di Gombak, Kuala Lumpur (Gombak) dan Ipoh, Perak.

'Malaysian Influenza Working Group' (MIWG) yang terdiri daripada pakar perubatan amat prihatin dengan imuniti populasi Malaysia yang rendah kerana kurang pendedahan mengenai influenza dan pengambilan vaksin suntikan flu (vaksin influenza) sejak dua tahun lalu.

MIWG menyenaraikan tujuh sebab individu dan keluarga perlu mendapatkan vaksin suntikan flu sebagaimana disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

1. Flu mudah berjangkit

Tidak seperti negara bermusim sederhana, influenza berlaku sepanjang tahun di Malaysia.

Ini bermakna, individu boleh dijangkiti flu bila-bila masa. Influenza merebak daripada seorang ke seorang, terutama melalui titisan cecair sehingga kira-kira sejauh 1.8 meter.

Influenza berjangkit dengan mudah dalam komuniti dengan penularan yang pantas di kawasan sesak seperti sekolah dan rumah jagaan.

Suntikan flu mengurangkan penyakit berkaitan flu dan risiko komplikasi serius yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian.

Di samping itu, suntikan flu juga dapat mencegah penyebaran virus dalam komuniti .

2. Ujian flu tidak kerap dilakukan

Ujian flu tidak dilakukan secara rutin. Gejala flu adalah serupa dengan Covid-19, tetapi selalunya penyakit ini dipandang ringan.

Perlu mengambil perhatian bahawa demam tidak selalu berlaku pada semua peringkat umur, terutama golongan dewasa lebih berusia dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

Sekiranya mempunyai faktor komorbid, mengabaikan gejala ini dan tidak mendapatkan rawatan perubatan boleh memburukkan jangkitan flu serta penyakit sedia ada.

Dapatkan suntikan flu kerana ia dapat menghalang daripada dijangkiti penyakit yang teruk.

3. Flu boleh membawa parah malah maut

Walaupun kebanyakan pesakit dijangkiti flu pulih dalam tempoh beberapa hari hingga kurang daripada dua minggu, individu berisiko tinggi mungkin mengalami komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

Kumpulan berisiko tinggi terdiri daripada kanak-kanak, wanita hamil dan sehingga dua minggu selepas bersalin, warga emas, pesakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, buah pinggang dan barah.

Antara komplikasi serius flu yang memerlukan rawatan di hospital ialah radang paru-paru yang berpunca sama ada daripada jangkitan flu atau jangkitan bersama virus dan bakteria.

Flu juga boleh membawa kepada sepsis iaitu tindak balas yang mengancam nyawa kepada jangkitan boleh merebak pantas kepada kegagalan organ dan kematian.

Di samping itu, kerosakan pada sel dalam paru-paru yang disebabkan oleh virus influenza dan kekurangan pernafasan mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS).

4. Flu seperti Covid-19, lebih berisiko mengancam warga emas

Warga emas terutama yang mempunyai penyakit kronik sedia ada berisiko mendapat komplikasi teruk daripada flu.

Ini disebabkan perubahan dalam pertahanan imun dengan peningkatan usia menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

Berdasarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), sehingga 85 peratus kematian berkaitan dengan flu berlaku dalam kalangan golongan berumur 65 tahun ke atas.

Komplikasi awal influenza bukanlah satu-satunya kebimbangan. Kemerosotan fungsi selepas dimasukkan ke hospital untuk influenza boleh berterusan dan amat bahaya dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua.

Kesan jangka panjang flu menjadikan pencegahan lebih penting bagi golongan yang lebih tua.

Kajian mendapati, vaksinasi flu mengurangkan risiko akibat jangkitan flu lebih serius, mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian pada golongan yang lebih tua.

5. Flu boleh menyebabkan serangan jantung

Apabila dijangkiti flu, tindak balas pertama keradangan badan daripada sistem pertahanannya menyebabkan keadaan tidak diingini dalam badan yang boleh menyebabkan serangan jantung.

Kajian menunjukkan bahawa penyakit flu dikaitkan dengan peningkatan serangan jantung dan angin ahmar.

Kajian 2018 mendapati, risiko mendapat serangan jantung adalah enam kali lebih tinggi dalam masa seminggu selepas disahkan jangkitan flu.

Penemuan ini paling ketara bagi golongan dewasa yang lebih tua dan mereka yang mengalami serangan jantung buat kali pertama.

Suntikan flu melindungi jantung. Ia mengurangkan risiko kardiovaskular sebanyak 36 peratus.

Selain itu, terdapat pengurangan sebanyak 45 peratus risiko kardiovaskular pada pesakit yang mempunyai sejarah sindrom koronari akut.

Penurunan risiko kematian sebanyak 18 peratus dilaporkan pada pesakit yang mengalami kegagalan jantung.

6.Selesema boleh menjadi bahaya bagi penghidap kencing manis

Jika menghidap kencing manis (jenis satu, dua atau kehamilan), flu boleh menjadi lebih daripada sekadar demam dan gejala pernafasan.

Flu boleh menyukarkan individu berkaitan mengawal paras gula dalam darah. Risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit berpanjangan dimasukkan ke hospital dan juga kematian, walaupun penyakit kencing manis dikawal dengan baik.

Malah, kajian menunjukkan bahawa pesakit kencing manis adalah enam kali lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital dengan komplikasi flu.

Suntikan flu tahunan mengurangkan risiko kegagalan jantung sebanyak 22 peratus, angin ahmar (30 peratus), serangan jantung (19 peratus) dan radang paru-paru (15 peratus).

7. Kehamilan dan anak dalam kandungan

Semasa hamil, badan mengalami perubahan pada sistem imun, jantung dan paru-paru menjadikan ia lebih terdedah kepada influenza lebih teruk sehingga menyebabkan kemasukan ke hospital sepanjang kehamilan sehingga dua minggu selepas bersalin.

Anak dalam kandungan juga berisiko mendapat komplikasi daripada flu seperti kecacatan tiub saraf, kelahiran pramatang dan kematian.

Vaksinasi flu bukan sahaja melindungi ibu mengandung malah anak dalam kandungan.

Antibodi yang dihantar daripada ibu kepada bayi dalam kandungan akan berfungsi sebagai perlindungan untuk enam bulan pertama selepas kelahiran, sehingga bayi cukup umur untuk suntikan flu pertama mereka pada enam bulan dan seterusnya.

Disiarkan pada: July 10, 2022 @ 6:55am
d