sihat

Rutin buang air besar berubah

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

SAKIT perut dan perlu bergegas ke tandas setiap kali selepas makan. Itu 'kepayahan' terpaksa dihidapi mereka yang mempunyai masalah kerap membuang air besar selepas makan.

Disebabkan masalah ini juga, ada yang mengambil langkah tidak bersarapan sebelum pergi kerja kerana bimbang rasa sakit perut semasa dalam perjalanan.

Ekoran ini, timbul persoalan adakah masalah ini sesuatu tabiat yang normal atau sebaliknya.

Sihat minggu ini menemu bual Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Pakar Annur Dr Norfaridzulanwar Zolkapli untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan perkara itu.

Dr Norfaridzulanwar berkata, apabila menyentuh mengenai tabiat membuang air besar, ia mempunyai kaitannya dengan usus seseorang.

Menurutnya, ia dianggap normal sekiranya individu itu mempunyai rutin membuang air besar yang teratur selepas makan sejak sekian lama.

"Ada individu mempunyai tabiat usus (habit bowel) iaitu melatih ususnya untuk membuang air besar setiap pagi sebaik bangun tidur.

"Malah ada juga mempunyai usus sensitif yang menyebabkannya mudah membuang air besar selepas makan," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, ia dianggap tidak normal apabila ada perubahan kepada rutin membuang air besar iaitu menjadi lebih kerap ke tandas untuk membuang air besar selepas makan atau semakin jarang membuang air besar berbanding sebelum itu.

"Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi perubahan tabiat membuang air besar seseorang.

"Antara faktornya ialah diet, masalah tiroid, persekitaran cuaca yang panas dan sejuk serta pengambilan makanan tinggi serat atau pedas.

"Sekiranya mengamalkan diet tinggi protein dan lemak, ia boleh menyebabkan sukar membuang air besar kerana protein adalah makanan yang sukar dihadam berbanding karbohidrat.

"Protein dan lemak mula dihadamkan proses di dalam usus kecil dan proses penghadaman itu lebih rumit berbanding karbohidrat.

"Karbohidrat adalah makanan yang mudah dihadam dan proses penghadapan mula berlaku daripada mulut," katanya.

Dr Norfaridzulanwar berkata, fungsi hormon tiroid ialah untuk menyeimbangkan kadar metabolisma badan.

Katanya, apabila individu mengalami hipotiroidisme, maka tahap metabolisme akan menjadi rendah yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sembelit, manakala hipertiroidisme menyebabkan individu berkenaan mengalami gejala cirit-birit.

"Makanan pedas adalah bagus kerana kesannya menyebabkan saluran darah menjadi kembang dan badan akan terasa lebih segar serta sihat.

"Tetapi sekiranya diambil secara berlebihan, ia akan membuatkan rasa tidak selesa dan panas badan. Pedas adalah tindak balas kimia di dalam perut menyebabkan seseorang mudah cirit-birit," katanya.

Beliau berkata, masalah psikologi seperti kemurungan dan kebimbangan juga boleh mempengaruhi perubahan corak buang air besar individu.

Katanya, mereka yang mempunyai tabiat kerap membuang air besar selepas makan, dinasihati berjumpa doktor apabila mengalami beberapa gejala.

"Pertama ialah cirit-birit yang teruk hingga keletihan akibat kerana kehilangan air yang boleh mengancam nyawa.

"Keduanya ialah mempunyai sejarah keluarga ada ketumbuhan dalam usus, terutama lelaki.

"Ketiga adalah berat badan menurun yang mungkin berpunca daripada jangkitan atau masalah tiroid," katanya.

Ditanya adakah masalah ini boleh dirawat, Dr Norfaridzulanwar berkata, rawatan diberikan bergantung kepada puncanya.

"Sekiranya berpunca daripada masalah hipertiroid, pesakit akan dirujuk kepada pakar dan diberikan ubat tiroid.

"Bagi punca daripada 'irritable bowel syndrome' (IBS) pula, individu perlu mengubah cara hidup dan pemakanan," katanya.

Beliau berkata, bayi adalah golongan yang paling mudah membuang air besar selepas makan.

"Apabila meningkat remaja, keadaan ini berubah kerana usus mereka sudah matang dan boleh mengawal sedikit tabiat membuang air besar.

"Kebanyakan individu yang mengalami IBS adalah individu dalam kalangan berusia 30-an hingga 40-an," katanya.

Katanya, tidak dinafikan ada juga yang mengambil banyak makanan berserat iaitu buah-buahan dan sayuran, tetapi masih sukar membuang air besar.

"Kita akan membuat pemeriksaan dengan pakar bedah termasuk ujian darah.

"Mereka yang ada masalah kerap membuang air besar selepas makan dan sudah biasa mengambil sarapan, dinasihat supaya tidak meninggalkan rutin ini.

"Ini kerana sarapan amat penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 7:00am
d