sihat

Hiperhidrosis jejas kerjaya, akademik

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

"Sapu tangan dan tisu sudah menjadi sahabat rapat saya kerana akan membawanya ke mana-mana untuk mengelap peluh pada tangan," kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hani.

Hani, 30, menghidap hiperhidrosis iaitu masalah peluh berlebihan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penyakit itu mengganggu rutin harian termasuk kerjanya sebagai kakitangan swasta di sebuah syarikat di Lembah Klang.

"Saya didiagnosis menghidap hiperhidrosis pada Ogos tahun lalu selepas menjalani pemeriksaan di sebuah klinik.

"Kemudian, doktor membuat surat rujukan untuk saya menjalani rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) memandangkan hospital berkenaan mempunyai pakar yang boleh merawat hiperhidrosis.

"Pada 3 Januari lalu, saya selamat menjalani pembedahan simpatektomi torasik di HCTM," katanya.

Menurut Hani, dia berharap, dengan pembedahan itu masalah hiperhidrosis dialaminya pulih sepenuhnya.

"Saya berminat menjalani pembedahan ini kerana keadaan hiperhidrosis semakin teruk hingga menyukarkan untuk bekerja.

"Berikutan ini, saya sukar untuk menulis kerana kertas akan basah terkena peluh pada tangan.

"Saya juga takut untuk berjabat tangan dengan orang lain kerana bimbang mereka berasa geli kerana keadaan tangan basah berpeluh.

"Peluh pada tangan tidak terkawal dan saya tetap berpeluh walaupun berada dalam persekitaran penyaman udara dipasang serta tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Jantung dan Paru-Paru HCTM Dr Muhammad Ishamuddin Ismail berkata, masalah hiperhidrosis banyak berlaku di bahagian tapak tangan, tapak kaki dan ketiak.

Menurutnya, walaupun penyakit itu tidak dikaitkan dengan kematian, ia boleh memberi kesan ketara terhadap kualiti hidup dan emosi pesakit.

"Ada pesakit enggan bergaul dengan masyarakat atau berada di tempat awam disebabkan peluh tidak terkawal yang membuatkan mereka berasa malu.

"Mereka juga hilang keyakinan diri dan terasa seperti dipandang serong oleh orang lain.

"Ini membuatkan pesakit lebih selesa mengasingkan diri untuk mengelakkan perkara yang boleh memberi kesan terhadap emosi," katanya.

Selain itu, kata Dr Muhammad Ishamuddin, penyakit itu turut menjejaskan kerjaya dan akademik pesakit.

Katanya, terdapat dua punca hiperhidrosis iaitu primer dan sekunder.

Namun, punca primer tidak dipastikan secara khusus penyebab penyakit berkenaan.

"Setakat ini, apa yang diketahui ialah pengawal selia daripada otak mengeluarkan cas berlebihan melalui saraf simpatetik ke bahagian kelenjar peluh yang banyak terdapat di tangan, ketiak, tapak tangan dan tapak kaki.

"Kita juga tidak mengetahui mengapa pesakit mempunyai cas berlebihan melalui saraf simpatetik berbanding orang lain," katanya.

Menurut Dr Muhammad Ishamuddin, kebanyakan pesakit kategori ini mewarisi penyakit itu daripada ibu bapa.

Peratusan diwarisi ialah antara 20 hingga 30 peratus.

"Mereka yang mewarisi penyakit ini daripada ibu bapa mempunyai kadar peluh jauh lebih banyak," katanya.

Dr Muhammad Ishamuddin berkata, punca sekunder ialah masalah peluh berlebihan yang disebabkan penyakit kencing manis, ubat-ubatan, hipertiroid dan keresahan.

Ditanya berkaitan golongan berisiko menghidap penyakit itu, katanya, mereka adalah individu mempunyai sejarah keluarga mengalami hiperhidrosis dalam lingkungan usia yang muda.

"Kami menerima pesakit seawal usia 12 tahun. Kebanyakan pesakit ini akan menghidap penyakit berkenaan pada awal 20-an sehingga lewat usia 30-an. Namun, juga ada menerima pesakit berumur awal 40-an.

"Pada lazimnya, masalah ini akan beransur berkurangan apabila usia meningkat. Ramai pesakit yang menghidapi hiperhidrosis memulakan rawatan awal seperti menggunakan bedak sejuk, ubat-ubatan dan suntikan botoks," katanya.

Dr Muhammad Ishamuddin berkata, oleh kerana rawatan itu tidak berjaya atau bersifat sementara, ia mendorong pesakit memilih rawatan yang lebih efektif iaitu pembedahan simpatektomi torasik.

"Teknik yang digunakan dalam pembedahan ini adalah secara 'video assisted thoracoscopic surgery' (VATS) yang membabitkan luka lubang kunci ('key hole surgery') yang kecil.

"Dalam prosedur ini, saraf yang mengawal kelenjar peluh pada aras torasik tertentu, akan dimusnahkan sama ada dengan cara dipotong, dibakar atau dikepit," katanya.

Menurut Dr Muhammad Ishamuddin, setakat ini, ramai pesakit yang melakukan pembedahan ini mencapai tahap penyembuhan tinggi iaitu hampir 99 peratus.

Selain itu, katanya, komplikasi rawatan itu juga sangat rendah seperti peluh berlebihan 'berpindah' ke kawasan lain iaitu bahagian belakang badan dan paha.

Katanya, peratusan risiko penyakit ini berulang adalah sangat rendah dan pesakit tidak perlu ragu-ragu untuk menjalani prosedur itu.

Menurutnya, ramai pesakit yang sudah menjalani pembedahan itu memberikan maklum balas yang positif dan mereka gembira kerana tidak lagi 'diganggu' dengan peluh pada tapak tangan dan ketiak.

"Paling menggembirakan mereka ialah tidak perlu lagi bersahabat baik dengan sapu tangan yang sebelum ini 24 jam menjadi peneman untuk mengelap peluh.

"Ada pesakit sudah 10 tahun menderita masalah peluh berlebihan dan tampil berjumpa dengan doktor apabila masalah hiperhidrosisi dialaminya semakin teruk.

"Hinggakan ada pesakit dalam kalangan pelajar tidak dapat memegang pen untuk menulis dan ini menjejaskan proses pembelajaran.

"Berdasarkan pemerhatian saya, bilangan pesakit hiperhidrosis semakin meningkat dan secara purata, saya merawat 20 hingga 25 pesakit dalam setahun," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2023 @ 7:00am
d