sihat

Menghilangkan lemak perut

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Menghilangkan lemak di sekitar perut adalah matlamat untuk menurunkan berat badan.

Lemak mempunyai pelbagai fungsi dalam badan termasuk sebagai penyimpanan tenaga dan pengawalan hormon.

Ada dua jenis lemak utama dalam perut. Pertama ialah lemak 'subcutanous' yang terletak di bawah kulit.

Lemak jenis ini tersimpan di seluruh badan termasuk di bahagian tengah tubuh iaitu sekitar kawasan perut.

Satu lagi ialah lemak jenis 'visceral' yang terletak di bahagian dalam badan untuk melindungi organ dalam perut.

Penyelidik mengaitkan jumlah lemak yang tinggi terkumpul di kawasan itu ada kaitannya dengan penyakit kencing manis dan penyakit jantung.

Atas sebab ini, menghilangkan lemak visceral yang berlebihan boleh memberi manfaat besar terhadap kesihatan.

Berikut adalah cara mudah untuk menghilang lemak di kawasan perut:

1- Mengehadkan pengambilan gula dan minuman manis

Diet tinggi gula tambahan boleh menyebabkan lebihan lemak di perut.

Kajian menunjukkan pengambilan gula tambahan boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan metabolik.

Banyak kajian menunjukkan lebihan gula (sejumlah besar fruktosa) boleh menyebabkan pengumpulan lemak di sekitar perut dan hati.

Jika mengurangkan pengambilan kalori, secara tidak langsung membantu mengehadkan pengambilan gula harian.

Terlebih dahulu membaca label pada produk makanan sebelum membelinya untuk memastikan tidak mengandungi gula ringkas.

2- Makan banyak protein

Protein adalah makronutrien paling penting untuk menurunkan berat badan.

Kajian menunjukkan, pengambilan protein boleh mengurangkan 60 peratus keinginan makanan manis dan meningkatkan mentabolisme daripada 80 hingga 100 kalori setiap hari.

Jika ada matlamat untuk mengurangkan berat badan, cara berkesan boleh dilakukan ialah menambah hidangan protein dalam diet harian.

Terdapat kajian menunjukkan mereka yang makan lebih protein mempunyai jumlah lemak yang sedikit di sekitar bahagian perut.

Antara sumber protein yang baik diambil ialah telur, ikan, kekacang dan produk tenusu.

3- Pertimbang diet rendah karbohidrat

Amalan diet rendah karbohidrat boleh menjadi cara berkesan untuk menghilangkan lemak di kawasan perut.

Tetapi, diet ini ada potensi beberapa risiko dan tidak sesuai diamalkan semua orang.

Oleh itu, jika mempunyai matlamat untuk menurunkan berat badan dengan cepat, disarankan mengurangkan pengambilan karbohidrat kepada 50 gram (g) sehari.

Apabila mengurangkan pengambilan karbohidrat, selera makan akan berkurangan dan berat badan turut menurun.

4- Makan makanan tinggi serat

Makan banyak serat membantu mengurangkan berat badan.

Satu kajian mendapati bahawa pengambilan serat tambahan sebanyak 14g sehari, dikaitkan dengan penurunan 10 peratus pengambilan kalori dan penurunan berat badan kira-kira dua kilogram, selama empat bulan.

Satu kajian yang dijalankan selama lima tahun menunjukkan bahawa pengambilan 10g serat larut setiap hari, dikaitkan dengan pengurangan 3.7 peratus jumlah lemak 'visceral' dalam perut.

Cara terbaik untuk mendapat lebih serat ialah dengan memakan banyak sayur-sayuran, buah-buahan, bijiran dan kekacang.

5- Kerap bersenam

Bersenam adalah perkara paling baik yang boleh dilakukan untuk meningkatkan peluang hidup, kesihatan dan mengelakkan penyakit.

Aktiviti ini juga dapat menghilangkan lemak yang terkumpul di sekitar perut.

Aerobik, berjalan, berlari dan berenang boleh mengurangkan banyak lemak visceral.

Selain itu, bersenam juga dapat mengurangkan keradangan, merendahkan paras gula dan menambah baik masalah metabolik lain.

Disiarkan pada: January 22, 2023 @ 6:30am
d