sihat

Terlebih makan kala beraya

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PELBAGAI juadah tradisional dihidang untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri, sekali gus membuatkan kita cenderung makan secara berlebihan.

Oleh itu, adalah penting untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri meskipun ketika meraikan Syawal.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Lim Sim Yee berkata, makan berlebihan ketika Aidilfitri boleh menyebabkan berat badan bertambah, terutama apabila mengambil lebih banyak kalori daripada yang dibakar.

"Ini boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan bagi jangka panjang, misalnya peningkatan risiko obesiti dan penyakit berkaitan seperti kencing serta penyakit jantung.

"Makan terlalu banyak atau mengambil hidangan yang mengandungi lemak dan gula tinggi juga boleh menyebabkan masalah penghadaman seperti senak perut, kembung perut dan sembelit," katanya.

Dr Lim menyarankan masyarakat memilih makanan lebih sihat seperti hidangan yang dipanggang atau dibakar bagi menggantikan hidangan bergoreng atau mengandungi lemak tinggi.

Katanya, pilih juadah mengandungi protein tanpa lemak, bijian penuh dan memperbanyakkan sayur-sayuran.

"Selain itu, boleh juga mengawal saiz makanan dengan menggunakan pinggan lebih kecil atau mengambil kuantiti lebih sedikit bagi setiap hidangan.

"Makan dengan perlahan juga boleh membuatkan kita cepat kenyang selain dapat mengelakkan makan berlebihan," katanya.

Kata Dr Lim, menguruskan pengambilan gula agak mencabar ketika musim perayaan kerana banyak juadah tradisional, minuman dan pencuci mulut mempunyai kandungan gula yang tinggi.

"Oleh itu, pilih air mineral atau minuman tanpa gula. Boleh juga buat minuman sendiri dengan mencampurkan air kosong dengan hirisan buah-buahan dan herba.

"Buah-buahan segar boleh menggantikan keinginan terhadap makanan manis tanpa mengandungi gula tambahan.

"Boleh cuba menghasilkan versi pencuci mulut tradisional yang lebih sihat dengan menggunakan pemanis semula jadi bagi menggantikan gula putih seperti kurma, madu dan sirap mapel," katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya mengurangkan kandungan gula dalam resipi dan lebihkan pengambilan serat seperti bijirin atau buah-buahan.

"Kanak-kanak juga cenderung untuk makan terlalu banyak biskut, snek, minum minuman kordial dan berkarbonat ketika melawat keluarga serta rakan-rakan ketika musim perayaan.

"Menunjukkan contoh baik kepada anak-anak dengan memilih pemakanan sihat boleh membantu mereka membuat pilihan makanan yang betul.

"Tetapkan had berapa banyak makanan manis atau berkalori tinggi yang boleh dimakan anak setiap hari ketika musim perayaan," katanya.

Dr Lim berkata, pupuk mereka untuk berkongsi makanan dengan keluarga dan rakan-rakan daripada makan sendirian.

Selain itu, galakkan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal seperti berjalan atau berbasikal.

"Ini boleh membantu membakar lebihan kalori dan tenaga, secara tidak langsung menjurus kepada amalan gaya hidup sihat," katanya.

Dr Lim berkongsi tip tujuh hidangan tradisional lebih sihat.

1-Rendang

Gunakan potongan daging lebih nipis seperti dada ayam atau daging lembu tanpa lemak dan kurangkan jumlah santan yang digunakan.

Boleh memasukkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lada benggala dan brokoli untuk menambah khasiatnya.

2-Ayam masak merah

Pilih dada ayam tanpa kulit untuk menggantikan paha ayam tinggi lemak dan kurangkan jumlah minyak ketika memasak.

Masukkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lobak merah dan bayam untuk meningkatkan densiti nutriennya.

Gantikan garam dan gula dengan pilihan lebih sihat seperti herba serta rempah-ratus bagi menambah rasa hidangan.

3-Kuah kacang

Gunakan mentega kacang asli dan bukan mentega kacang yang diproses kerana ia mungkin mengandungi garam serta gula tambahan.

Kurangkan kandungan gula dan masukkan bahan lain yang kaya dengan khasiat seperti halia serta bawang putih untuk meningkatkan manfaat kesihatannya.

4-Sayur lodeh

Kuah sayuran ini selalunya dimasak dengan pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk kekacang, terung dan kubis.

Ia adalah hidangan rendah kalori dan padat dengan nutrien yang mengandungi serat tinggi serta antioksidan.

Bagi menjadikannya lebih sihat, kurangkan jumlah santan atau pilih jenis rendah lemak.

5-Acar

Acar ialah sayur jeruk yang sering disajikan sebagai hidangan sampingan.

Ia adalah hidangan rendah kalori yang mengandungi serat tinggi dan kaya dengan vitamin serta mineral.

Kurangkan jumlah garam dan gula untuk menjadikan hidangan ini lebih sihat.

6-Ketupat

Makanan ini diperbuat daripada beras dan dibungkus dengan daun kelapa, membekalkan sumber tenaga yang baik untuk tubuh badan.

Ia juga rendah lemak dan tidak mengandungi kolesterol. Walaupun ia pilihan sihat, boleh menjadikannya lebih sihat dengan menggandingkannya dengan lauk berasaskan sayuran.

7-Lemang

Pilih versi yang dibuat dengan beras perang bagi menggantikan beras putih kerana ia mengandungi lebih banyak serat dan nutrien.

Boleh juga mengurangkan jumlah santan atau memilih jenis rendah lemak.

Disiarkan pada: May 7, 2023 @ 6:55am
d