sihat

Kecil-kecil bawa petaka

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

TERDAPAT sebahagian serangga kecil di sekeliling kita yang boleh memberi ancaman besar terhadap kesihatan.

Lebih membimbangkan kesannya boleh mengakibatkan kematian jika aspek pencegahan dan rawatan yang tepat tidak diberikan.

Ketua Jabatan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Syamsa Rizal Abdullah berkata, serangga kecil yang mengganggu kehidupan manusia itu juga dikenali sebagai ektoparasit kerana infestasi serangga itu terhad di kawasan kulit sahaja.

Beliau berkata, contoh ektoparasit seperti nyamuk, kutu kepala, kutu badan, kutu kemaluan, lalat, lipas, semut, pepijat, pinjal, sengkenit, tungau kudis buta, tungau folikel dan lain-lain.

"Tungau folikel ini lazimnya berhabitat pada bahagian folikel kulit muka manusia yang menimbulkan kesan iritasi, kemerahan dan kegatalan pada kulit muka.

"Kami pernah buat kajian terhadap penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi untuk melihat sama ada terdapat tungau folikel pada kulit muka mereka atau tidak," katanya.

Menurutnya, hasil kajian mendapati penuntut lelaki lebih cenderung dijangkiti tungau folikel berbanding penuntut perempuan yang mana seorang daripada lima penuntut lelaki didapati positif terhadap tungau ini.

"Manakala pemeriksaan ke atas penuntut wanita pula mendapati seorang daripada tujuh atau lapan penuntut ada dijangkiti tungau folikel.

"Ini mungkin disebabkan pelajar perempuan lebih cenderung menitik beratkan amalan kebersihan muka berbanding pelajar lelaki," katanya.

Dr Syamsa Rizal berkata, serangga kedua ialah pinjal dan serangga ini unik kerana bentuknya leper secara sisi (laterolateral) berbanding kebanyakan serangga lain yang leper secara atas bawah (dorsoventral).

"Ada beberapa jenis pinjal dan setiap satunya mempunyai kecenderungan menginfestasi perumah tertentu seperti kucing, anjing, tikus mahupun manusia.

"Sekiranya mempunyai haiwan peliharaan di rumah, hendaklah berhati-hati kerana ada kemungkinan pinjal ini boleh berpindah daripada haiwan dan menjangkiti ahli keluarga," katanya.

Beliau yang juga pensyarah kanan berkata, serangga seterusnya kutu yang boleh dibahagikan kepada tiga iaitu kutu kepala, kutu badan dan kutu kemaluan bergantung kepada lokasi habitat kutu itu kepada badan.

"Kutu kepala jangkitan yang biasa dijumpai terutama dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Manakala kutu badan dan kutu kemaluan cenderung menjangkiti individu kurang menjaga kebersihan diri.

"Lazimnya jangkitan ini terjadi kepada gelandangan yang tiada akses terhadap kemudahan membersihkan diri, justeru mengakibatkan risiko jangkitan menjadi tinggi,"katanya.

Jelasnya, nyamuk pula serangga popular kerana mampu berperanan sebagai vektor biologikal (pembawa) bagi pelbagai jenis penyakit seperti demam denggi, chikungunya, demam malaria dan jangkitan cacing filariasis.

"Contohnya demam denggi, penularan demam ini berlaku apabila nyamuk aedes sebagai vektor biologikal menghisap darah individu berpenyakit danmemindahkan virus denggi tersebut apabila menghisap darah individu yang lain.

"Statistik kes demam denggi di Malaysia dari 1 Januari hingga 15 Mei ialah 39,955 kes.

"Sementara jumlah kematian direkodkan sehingga 8 Mei adalah 24 orang," katanya.

Dr Syamsa Rizal berkata, berbeza dengan nyamuk, lalat rumah dan lipas pula serangga berperanan menularkan penyakit secara mekanikal iaitu dengan memindahkan kuman daripada kotoran serta najis kepada makanan.

"Ini boleh berlaku disebabkan amalan tidak sihat seperti pembuangan najis di tempat terbuka menyebabkan kuman dan telur cacing pada najis dipindahkan kepada makanan oleh lalat.

"Sifat semula jadi lalat dan lipas yang tertarik pada najis dan kotoran menyebabkan kuman pada najis serta kotoran melekat pada kaki dan permukaan badan lalat dan lipas.

"Jangkitan berlaku apabila lalat dan lipas hinggap pada makanan serta menjatuhkan kuman pada makanan.

"Tanpa disedari, kita memakan makanan yang sudah dicemari kuman.

"Kuman dipindahkan ini boleh terdiri daripada bakteria ataupun parasit. Parasit dikenali sebagai endoparasit masuk ke dalam sistem pencernaan dan berupaya menimbulkan banyak masalah kesihatan seperti sakit perut, cirit-birit, berak berdarah serta anemia. Jika tidak dirawat boleh membawa kepada kematian.

Menurut Dr Syamsa Rizal, antara contoh endoparasit adalah pelbagai cacing berhabitat dalam usus manusia seperti 'ascaris lumbricoides' (cacing gelang) dan 'trichuris trichiura' (cacing cambuk).

"Contohnya cacing gelang yang boleh mencapai panjang hingga 30 sentimeter (cm) di dalam usus.

"Jika keadaan ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah usus tersumbat dan menimbulkan masalah kesihatan lebih serius," katanya.

Tambahnya, beberapa langkah boleh diambil masyarakat untuk mencegah jangkitan parasit usus ini.

"Contohnya, penggunaan tandas sempurna akan mengelak kontak antara lalat dan najis yang menjadi sumber jangkitan.

"Mencuci tangan terutama selepas menggunakan tandas dan sebelum makan perlu dijadikan amalan.

"Selain itu, kebersihan makanan dan tempat penyediaan makanan penting bagi memastikan makanan tidak tercemar.

"Sayur-sayuran dan buah-buahan perlu dicuci sempurna sebelum dimakan kerana dikhuatiri terdedah dengan penggunaan baja berasaskan bahan kumuh," katanya.

Kata Dr Syamsa Rizal lagi, amalan menutup makanan dengan tudung saji amat disarankan bagi mengelak kontak antara vektor lalat dengan makanan.

"Walaupun serangga ini bersaiz kecil namun jika tidak dikawal maka boleh mengakibatkan kesan besar kepada kesihatan individu dan masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2023 @ 7:00am
d