2057

Tiga tokoh UMNO terima anugerah

Oleh Idris Musa

 

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga tokoh UMNO menerima Anugerah Tokoh Terbilang sempena Ulang Tahun UMNO yang ke-71 selepas memberi sumbangan dan banyak berjasa kepada tanah air sepanjang berjuang bersama UMNO.

Tokoh berkenaan adalah Tan Sri Hanafiah Hussain, Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latiff dan Tan Sri Napsiah Omar.

Hanafiah Hussain yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pertama berkata, dia berterima kasih kepada UMNO kerana memilihnya sebagai tokoh terbilang dan menganggap anugerah itu sebagai rezeki dari Allah.

"Saya minta kepada anak Melayu yang ada sekarang, ada peluang berilah sumbangan kepada negara dan memperjuangkan bangsa serta tanah air di bawah pimpinan UMNO.

"Kerana UMNO lah yang memerintah negara dengan baiknya sehingga kini tanpa ada sebarang pergolakan," kata bapa kepada tiga anak itu.

Mohd Yussof yang juga Pengerusi Persatuan Melayu Penang (Pemenang) berkata, UMNO merupakan satu-satunya bahagian yang mempertahankan Melayu sehingga sekarang.

"UMNO bukan sahaja wajar dihormati oleh bangsa Melayu, tetapi seluruh rakyat Malaysia kerana kewujudan UMNO lah yang meletak dasar kepada negara sehingga sekarang ini. 

"Andai tiada UMNO, tiadalah badan profesional Melayu ketika ini," katanya yang pernah memegang jawatan Setiausaha politik yang pertama kerajaan negeri Pulau Pinang.

Napsiah yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, dia bersyukur perjuangan UMNO tidak pernah luntur selama 71 tahun dan gagah sehingga sekarang.

"Jika di negara lain, sudah jatuh parti-parti yang menuntut kemerdekaan tetapi UMNO masih bertahan sehingga kini.

"UMNO kuat kerana kitalah nadi dan kekuatan parti ini. Jangan sia-siakan perjuangan parti ini kerana UMNO sudah berkorban macam-macam untuk memerdekakan negara," katanya.

 

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 11:37pm
d