2057

Farahiyah terpaksa lupakan Sukan SEA

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD futsal wanita negara terpaksa mengharungi saingan Sukan SEA KL2017 tanpa khidmat ketua pasukannya, Farahiyah Ridzuan yang digugurkan pada saat akhir ekoran kecederaan lutut kiri.

Perkhabaran menyedihkan itu nyata sukar diterima skuad futsal negara yang dijangka kehilangan separuh kekuatan pada saingan itu nanti.

Pengendali pasukan, Muizzudin Haris akui cukup terasa kehilangan pemain senior itu yang sudah beraksi buat skuad negara sejak Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

“Memang ketiadaan Farahiyah sedikit mengganggu perancangan dan persiapan kita menjelang Sukan SEA yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.

“Dia seorang pemain yang cukup berpengaruh dan mampu mengawal tempoh perlawanan dengan baik. Malah, pengalaman dia yang sudah beraksi bersama pasukan kebangsaan boleh membantu kita apabila bertemu pasukan kuat seperti Thailand,” katanya kepada Arena Metro.

Mengulas lanjut mengenai peluang pasukannya pada temasya berprestij itu, Muizzudin optimis pemainnya mampu menepati sasaran untuk menghadiahkan kilauan pingat gangsa buat negara.

“Sasaran yang diletakkan sekurangnya-kurangnya pingat gangsa bagi menyamai pencapaian Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw.

“Tapi, tidak mustahil jika pemain saya mampu mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada sasaran asal,” katanya.

Skuad negara akan menentang Indonesia, Myanmar, Vietnam dan juara bertahan, Thailand dengan menggunakan format timbal balik seperti pada edisi 2013.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 7:33pm
d