2057

Skuad tinju dapat 'tonik'

Oleh Mohd Khairie Khalid

KEM perkampungan atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selama seminggu bermula Jumaat lalu hingga petang tadi, memberi ‘tonik tambahan’ kepada kontinjen negara, khususnya skuad tinju.

Pengurus pasukan tinju negara, Datuk Rahman Lariwoo menyifatkan kem itu banyak membantu memberikan semangat serta tonik tambahan menjelang KL2017 yang kini hanya berbaki 8 hari saja lagi.

“Pasukan tinju mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak yang terbabit dalam Kem Perkampungan Sukan SEA di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.

“Kami berpuas hati dari segi penginapan, pemakanan, kemudahan logistik serta prasarana disediakan di hotel itu serta program yang disediakansekali gus menambahkan semangat untuk peninju kami,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahman yang juga Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak berharap undian KL2017 memihak skuad negara agar dapat menyumbang dua pingat emas dan satu gangsa.

“Prestasi semua peninju di Asia Tenggara tidak begitu berbeza, hanya dapat ditentukan pada hari pertandingan selain sokongan moral penyokong,” katanya

Skuad tinju mempetaruhkan enam ‘penggempur’ untuk KL2017 iaitu Muhammad Fuad Redzwan dalam acara 49 kilogram (kg), Abdul Salam Kasim (52kg), Arfiqani Ansori (56kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg), Indren Al Ramakrishnan (75kg) dan Adli Hafidz Mohd Pauzi (81kg).

Pencapaian terbaik skuad tinju negara pada temasya dwitahunan ialah dua emas di Laos 2009 menerusi Muhamad Farkhan Mohd Haron (75kg) dan Muhd Fairus Azwa dalam kategori 81kg.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 8:57pm
d