2057

Naik bendera kontinjen di Stadium Nasional

Oleh Jumiati Rosly

UPCARA menaikkan bendera kontinjen Sukan SEA 2017 semua negara yang mengambil bahagian bakal diadakan Rabu depan di depan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, upacara itu akan mengumpulkan kontinjen semua negara di depan arca keris dalam upacara yang menjadi tradisi sebelum bermulanya temasya dwi tahunan itu.

“Dalam pertemuan dengan ketua kontinjen semua negara, kita sudah tetapkan semua negara menghantar maksimum 35 atlet dan pegawai bagi upacara menaikkan bendera,” katanya selepas menghadiri majlis penajaan perak oleh AEON dan penajaan gangsa bersama 18 syarikat swasta di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, upacara menaikkan bendera biasanya diadakan di perkampungan sukan namun kali ini diadakan di Stadium Nasional berikutan tiada perkampungan sukan kali ini kerana kontinjen setiap negara menginap di hotel berbeza.

Mengenai ketibaan pertama kontinjen negara luar iaitu pasukan bola sepak Vietnam dan pasukan berbasikal Indonesia semalam, Zolkples berkata urusan ketibaan atlet terbabit berjalan lancar.

Zolkples berkata, ketibaan atlet yang lebih ramai akan bermula beberapa hari sebelum majlis perasmian pada Sabtu depan, memandangkan penganjur mula menyediakan kemudahan penginapan dan makanan dua hari sebelum majlis perasmian.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 3:38pm
d