2057

Sibuk asah Soniia, Jin Wei

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih perseorangan wanita negara Tey Seu Bock mengakui sibuk untuk mempersiapkan dua tonggaknya dalam acara individu, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur walaupun sedar bakal berdepan laluan sukar menentang wakil dari Indonesia serta Thailand.

Menurutnya, buat masa ini, persiapan semua pemain termasuk dua lagi dalam acara berpasukan, Ho Yen Mei dan Lee Ying Ying berjalan lancar terutama selepas melalui Kem Bina Semangat di Bukit Fraser hujung minggu lalu.

“Tahap pemulihan kecederaan Jin Wei juga semakin bagus dan dia melalui latihan dengan baik sekali. Begitu juga Soniia, di mana sekarang ini saya hanya perlu untuk memperkuatkan mentalnya saja kerana dia mudah berasa tertekan,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan pemain termasuk mengetahui apa masalah yang dihadapi agar tidak terbawa-bawa ke dalam gelanggang.

“Saya perlu berbincang dengan Soniia kerana dia dilihat agak tertekan jika bermain di kejohanan besar. Jadi saya perlu tahu sebabnya.

“Kita bukannya berbincang mengenai sasaran pingat kerana tidak mahu memberi tekanan kepada mereka. Kita sedar peluang mereka di Sukan SEA kali ini bukannya mudah dan paling penting ialah keadaan sebenar ketika pertandingan,” katanya.

Katanya, jika anak buahnya berjaya memberikan aksi seperti biasa, ia bukan satu masalah besar buat mereka untuk menghadapi pemain ternama seperti Hanna Ramadini, Dinar Dyah Ayustine, Fitriani, Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), Busanan Ongbamrungphan dan Nitchaon Jindapol (Thailand).

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara perseorangan wanita ialah melalui Datin Wong Mew Choo di Vietnam pada 2003.

Acara badminton yang akan diadakan di Arena Axiata berlangsung dari 22 hingga 27 Ogos ini dan menawarkan tujuh pingat emas.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 6:06pm
d