2057

Skuad ragbi pandang serius

Oleh Saiful Affendy Sapran

STATUS pasukan pilihan dimiliki skuad ragbi 7 sebelah negara sama sekali tidak bermakna mereka menganggap mudah pasukan lain apabila memulakan saingan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Sabtu ini.

Pemain negara Wan Izzuddin Wan Ismail menganggap setiap lawan yang bakal ditemui termasuk Kemboja pada perlawanan pertama perlu diberi perhatian serius kerana tidak mustahil kejutan boleh berlaku.

“Kadang-kadang apabila kita diletakkan selaku pasukan pilihan, keputusan sebaliknya berlaku. Lawan yang dianggap mudah ditewaskan mampu memberi kejutan.

“Saya bercakap kerana perkara seperti itu pernah berlaku sebelum ini. Jadi saya tidak mahu untuk saingan kali ini, kita menerima kejutan seperti itu,” katanya.

Wan Izzuddin berkata, tiga perlawanan pertama Sabtu ini cukup penting untuk menentukan kemaraan negara pada KL2017.

“Kita akan bertemu Kemboja pada perlawanan pertama diikuti Singapura dan yang paling sukar adalah juara bertahan, Filipina.

“Saya serta rakan sepasukan perlu pastikan mampu memperoleh keputusan yang baik untuk ketiga-tiga perlawanan ini,” katanya.

Menurutnya, sasaran mereka tidak pernah berganjak untuk memastikan warna pingat itu bertukar kepada emas pada edisi kali ini.

“Dua tahun lalu kami tidak mempunyai apa-apa. Segala perancangan diatur oleh pengurus pasukan.

“Sekarang ragbi sudah berada di bawah program Kita Juara. Bermakna kami mendapat sokongan lebih baik dan untuk itu tiada pilihan lain selain perlu memenangi pingat emas,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 6:24pm
d