2057

Sokongan penonton buat KJ ceria

Oleh Haika

“SAYA terkejut dan gembira kerana aksi sulung di Sukan SEA ditonton secara langsung oleh ribuan rakyat Malaysia datang menyaksikan perlawanan itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata sebagai menandakan berpuas hati dengan kemenangan sulung skuad Malaysia menewaskan Brunei 12-4 pada pembukaan acara polo sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Ekuestrian Putrajaya, hari ini.

Khairy tidak menyangka Malaysia menang besar kerana Brunei memberi saingan sengit dan berbalas serangan dengan pasukan kebangsaan dikawal olehnya sendiri yang menunggang kuda bernombor 1.

"Alhamdulillah Malaysia menemui rentak pada Chukka kedua dan mengawal permainan sehingga ke Chukka terakhir.

"Brunei sebuah pasukan yang kuat sehingga saya sendiri terpaksa bermain di belakang (berhampiran gol Malaysia) untuk menyekat kemaraan Puteri Azemah Ni'matul Bolkiah (anakanda Sultan Brunei) yang boleh menjaringkan banyak gol jika dibiarkan bergerak bebas.

"Nasib baik kita mendapat maklumat awal sebab itulah jurulatih minta saya kawal Puteri Azemah dengan ketat," katanya yang bangga kerana diberi peluang menyarung jersi kebangsaan dan mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2017.

Perlawanan disaksikan oleh bapa mertua Khairy yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, isterinya Nori Abdullah serta tiga anaknya Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Averroes.

Khairy berkata beliau terkejut dan gembira kerana aksi sulung di Sukan SEA ditonton secara langsung ribuan rakyat Malaysia yang datang menyaksikan perlawanan itu.

"Hari ini perlawanan selebriti kerana kehadiran Putera Sultan Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah dan Puteri Azemah yang amat baik dan mesra rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata kejayaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menang emas dalam acara kuda lasak turut memberi tekanan kepadanya untuk bermain dengan lebih cemerlang.

"Justeru, kita kena susun semula barisan pemain polo kebangsaan bagi menghadapi pasukan lawan dalam perlawanan seterusnya nanti," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 8:12pm
d