2057

Durriyah gagal menyengat

Oleh Naqib Nor Said

PEMAIN golf negara Nur Durriyah Damian gagal menyengat pada hari terakhir acara individu wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila sekadar menamatkan saingan di Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan di kedudukan keempat, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Durriyah yang menutup kempen dengan catatan menyamai par 213 terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya memenangi gangsa selepas hanya mencatat satu di atas par 72 di hari ketiga.

Emas dimenangi bintang muda berusia 14 tahun dari Thailand, Atthaya Thitikul yang mencatat 14 di bawah 199 manakala perak menjadi milik rakan senegaranya Thitapa P yang ketinggalan tujuh pukulan di belakang.

Pemain Filipina Go Lois Kaye Lo pula berpuas hati dengan gangsa apabila catatan empat di bawah par 209 cukup untuk memastikannya kekal berkelebihan empat pukulan ke atas Durriyah.

Wakil Malaysia lain dalam golf wanita ialah Ashley Lau dan Loy Hee Ying yang masing-masing berada di tangga kelima dan keenam selepas mengumpul 214 dan 215.

Bagi Durriyah, kekalahan itu menjadi pembakar semangat untuknya dan rakan sepasukan bangkit dalam acara berpasukan.

“Saya amat terkilan dengan kegagalan ini, banyak kesilapan yang dilakukan saya pada hari ini. Apapun saya mahu bangkit dan membantu pasukan memenangi pingat dalam acara berpasukan mulai esok,” katanya.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Ervin Chang memperbaiki catatan 72 pukulan semalam kepada 69 pukulan hari ini untuk kekal berada di tangga ke-11 keseluruhan sekali gus muncul pemain terbaik negara dalam kategori lelaki.

Emas menjadi milik pemain Thailand Kosuka Hamamoto yang mencatat keseluruhan 10 di bawah par 203.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 3:54pm
d