2057

Tunggu 16 tahun raih emas laman sendiri

Oleh Jumiati Rosly

“SAYA tunggu 16 tahun untuk meraih pingat emas di gelanggang sendiri,” kata skipper boling padang wanita negara, Nor Hashimah Ismail yang membantu pasukannya menundukkan Filipina 24-14 dalam perlawanan akhir hari ini.

Hashimah, 46, sebelum ini memenangi pingat emas ketika negara menjadi tuan rumah pada 2001 melalui acara pairs.

Pingat emas hari ini adalah yang kelima sepanjang penampilan di Sukan SEA iaitu pada 1999 di Brunei, 2001, 2005 di Manila dan 2007 di Korat.

Malaysia dianggotai Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nur Fidrah Noh dan Nurul Alyani Jamil yang berada di kedudukan kedua di belakang Filipina ketika saingan peringkat kumpulan bermula cemerlang dengan memulakan saingan 4-0 pada ends pertama sebelum terus menambah mata hingga ke ends ke-10 yang menyaksikan negara terus menjarakkan kedudukan 15-7.

Filipina diwakili Marisa Baronda, Nancy Toyco, Nenita Tabiano dan Sharon Hauters memberi tekanan kepada skuad negara apabila menambah mata demi mata sehingga kedudukan jurang 15-14 pada ends ke-14.

Kuartet negara menambah empat mata pada ends berikutnya dan menjadi titik permulaan kebangkitan negara hingga ends ke-18.

Hashimah berharap pingat emas dimenangi pasukannya menjadi suntikan semangat kepada pemain negara yang lain untuk memenuhi sasaran empat emas bagi acara boling padang.

Pingat gangsa dimenangi Thailand secara automatik selaku kerana hanya tiga negara bertanding.

Dua lagi pingat emas bakal ditawarkan dalam acara triples lelaki dan wanita pada esok.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 8:40pm
d