2057

Tuaian pingat emas tidak menjadi

Oleh Aida Adilah Mat dan Firdaus Hashim

HASRAT skuad olahraga negara menuai lebih banyak pingat emas pada hari ketiga acara itu hari ini, tidak kesampaian apabila sekadar meraih satu pingat emas dan dua gangsa.

Berbanding pada hari pertama dan kedua sebelum ini, prestasi atlet negara sedikit hambar dengan beberapa atlet harapan, termasuk Iskandar Alwi (lompat bergalah lelaki) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita) gagal memberi saingan untuk sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Bagaimanapun, Sean Yee tetap boleh berbangga apabila memperbaharui rekod kebangsaan dengan lompatan 1.83 meter, memadam rekod lama miliknya sendiri 1.81 meter.

Menurut gadis berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu, meskipun tidak berjaya menghadiahkan pingat emas namun dia berpuas hati dengan aksinya kerana sudah berusaha sedaya upaya.

“Ini pingat pertama saya dalam Sukan SEA dan hari ini, berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

“Walaupun tak dapat emas, saya masih boleh memberi pingat gangsa kepada pasukan.

“Saya harap selepas ini dapat mewakili Malaysia ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan,” katanya.

Pingat emas acara lompat tinggi wanita dimenangi atlet Vietnam, Duong Thi Viet Anh dan kedua, menjadi milik Michell Suat Li dari Singapura.

Hanya Grace Wong Xiu Mei menyelamatkan kem Malaysia apabila meraih pingat emas acara baling tukul besi wanita.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 11:09pm
d