2057

Usah keterlaluan berpolitik: Pengarah Pendidikan Johor

Oleh Mohd Sabran Md Sani

WARGA pendidik di Johor dinasihatkan tidak keterlaluan dalam berpolitik dan membuat pilihan bijak pada musim pilihan raya umum (PRU) kini.

Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif, berkata, ia bertujuan memastikan golongan itu menjaga profesion keguruan yang dianggap bijak pandai.

“Nasihat saya kepada guru, pandai-pandailah membuat pilihan dan secara berpatut-patut, selain jangan berlebihan (ketika menghadapi PRU).

“Kita pilihlah mana kerajaan terbaik. Guru semua bijak pandai, kita juga mengajar anak murid. Dengan kebijaksanaan yang ada, buatlah keputusan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Johor di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini.

Ditanya sama ada guru boleh mengikuti ceramah politik sempena PRU-14, katanya, mereka perlu berpada-pada dalam membuat keputusan dan melihat situasi (ceramah).

Sementara itu, program hari ini dikendalikan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti (KPIBK) Daerah Johor Bahru bertema ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’ dengan disertai 2,500 guru, murid dan ibu bapa.

Objektif program itu ialah menggalakkan ibu bapa dan komuniti bersama meraikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN) serta Kementerian Pendidikan.

Shaharudin berkata, inisiatif persatuan ibu bapa di Johor Bahru itu bertujuan menghargai guru di seluruh negeri ini.

“Hari Guru disambut warga pendidik setiap tahun. Kesempatan pelbagai pihak untuk turut merai dan mengucapkan ‘terima kasih cikgu’ akan menyebabkan guru berasa dihormati serta dihargai.

“Selain itu, inilah cara mereka menghargai segala jasa dan pengorbanan guru mendidik anak sejajar usaha murni serta permuafakatan antara ibu bapa dengan warga pendidik dalam mewujudkan ekosistem sekolah yang harmoni dan mesra,” katanya.

Beliau sekali gus mengalu-alukan masyarakat menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga pendidik, termasuk ibu bapa, komuniti dan pihak swasta.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 12:30pm
d