8

Qobin ikrar kembalikan sokongan orang muda

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

PENJELAJAH Grand Slam Negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berikrar mengembalikan kepercayaan golongan muda kepada UMNO selepas dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai yang baharu, hari ini.

Beliau yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding berkata, banyak yang perlu dilakukan untuk menarik kembali sokongan golongan muda kepada UMNO dengan menjadikan parti itu bersifat lebih inklusif

“UMNO tidak lagi boleh menjadi eksklusif kerana itu yang menyebabkan golongan muda menjauhkan diri daripada kita. Kita harus membuktikan kepada orang muda bahawa UMNO sentiasa bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Muhamad Muqharabbin, Dr Masliha Harun turut dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai yang baharu.

Ketua MEDIC TEAM Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) itu memenangi jawatan terbabit tanpa sebarang pertandingan.

Bagi jawatan Ketua Wanita bahagian pula, penyandangnya, Datin Azizan Shariff akan berdepan dengan pencabarnya, Saleha Abdullah.

Keputusan pemilihan peringkat bahagian bagi ketiga-tiga sayap UMNO itu dijangka dapat diketahui petang ini.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 12:47pm
d