arena

MPM sasar penyertaan 30 atlet di Paralimpik Tokyo

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap dapat menghantar seramai 30 atlet dan pegawai ke Sukan Paralimpik Tokyo bermula 25 Ogos sehingga 5 September tahun depan.

Presiden MPM yang juga ketua kontinjen negara ke temasya sukan itu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, setakat ini seramai sembilan atlet Malaysia sudah layak membabitkan empat daripada sukan olahraga, memanah (2), Boccia (1) dan renang (2).

"Kami menjangkakan beberapa atlet lagi akan melayakkan diri, antaranya daripada sukan para badminton, powerlifting dan berbasikal para.

"Kami turut menyeru kepada semua atlet para supaya meningkatkan intensiti latihan selepas pihak IPC mengesahkan bahawa tempoh kelayakan ke temasya Tokyo 2020 dibuka semula daripada Januari hingga Mei 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk edisi lalu di Rio 2016, Malaysia menghantar seramai 21 orang kontinjen.

Sementara itu jelas Megat, Jepun selaku tuan rumah memberi jaminan temasya itu akan dianjurkan mengikut jadual ditetapkan dengan jumlah pengunjung dihadkan kepada kapasiti 50 peratus.

Itu antara intipati webinar Ketua Kontinjen (CDM) Paralimpik Tokyo 2020 bersama Presiden Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020, Youshiro Mori semalam.

"Persiapan semua venue berjalan lancar untuk menganjurkan temasya sukan terbesar dunia itu seperti yang dirancangkan.

"Tuan rumah juga mengesahkan bahawa pihak mereka sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani isu berkaitan situasi wabak Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 6:26pm
d