arena

KBS pendekkan kontrak Pesuruhjaya Sukan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah memendekkan kontrak perkhidmatan Dr Wirdati Mohd Radzi selaku Pesuruhjaya Sukan yang berakhir hari ini.

KBS dalam satu kenyataan berkata, ia adalah pertukaran biasa di dalam perkhidmatan kerajaan yang sentiasa dinamik.

"Pengalaman dan kepakaran Dr Wirdati sepanjang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan membantu KBS khususnya dalam memperkemas urus tadbir persatuan-persatuan dan badan-badan sukan.

"KBS ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Dr Wirdati atas perkhidmatan dan jasa beliau sepanjang menerajui Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia," kata kenyataan itu.

Dr Wirdati yang mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan sukan dilantik bermula 1 Oktober tahun lalu dengan kontrak selama dua tahun.

Beliau menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara wajib pertengahan tahun lalu.

Dr Wirdati sebelum ini pernah memegang ahli jawatankuasa status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari tahun 2014 hingga 2017 dan Naib Presiden Persatuan Pengurusan Sukan Asia (2017 hingga 2019).

Selain itu, beliau turut bergiat aktif dalam Persatuan Wanita di dalam Undang-Undang Sukan yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland sejak 2018 sehingga kini.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 6:38pm
d