arena

Jepun giat lakukan persiapan Olimpik Tokyo

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020, memberi jaminan bahawa segala persiapan penganjuran Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 sedang giat dilakukan.

Presiden Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020 Youshiro Mori turut berkongsi ikrar Perdana Menteri baharu Jepun Yoshihide Suga, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan lepas, bahawa Jepun komited menjayakan penganjuran temasya sukan terbesar dunia itu seperti dijanjikan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tuan rumah Tokyo 2020 menyatakan, jaminan itu ketika sesi Webinar Ketua Kontinjen (CDM) Paralimpik Tokyo 2020 pada Khamis, membabitkan 165 wakil negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia, yang diwakili Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kenyataan itu memaklumkan antara intipati penting lain dikongsi ketika sesi secara maya selama tiga jam itu adalah, Jepun telah merombak dan menyusun semula jadual kejohanan utama di negara berkenaan supaya tidak bertindih dengan temasya sukan itu, dengan Sukan Paralimpik Tokyo dijadual bermula 25 Ogos hingga 5 September, 2021.

Sebanyak 22 sukan dipertandingkan dengan menawarkan 539 pingat emas membabitkan 21 venue pertandingan yang kebanyakannya berlangsung di Tokyo, dengan persiapan semua venue berjalan lancar untuk menganjurkan temasya sukan terbesar dunia itu.

Menurut kenyataan itu, segala aspek perancangan akan dikemas kini dari semasa ke semasa, untuk memastikan Jepun bersedia menyambut kehadiran kontinjen dari 165 negara, selain untuk membolehkan temasya itu dilangsungkan dengan teratur dan terbaik.

Tuan rumah Jepun juga mengesahkan mereka menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani isu berkaitan Covid-19, dengan terdapat garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi kontinjen dari setiap negara, sebelum bertolak ke Jepun.

Beberapa langkah berjaga-jaga juga akan diperkenalkan Jepun, untuk melindungi dan menjaga tahap kesihatan atlet sepanjang temasya sukan itu.

Setakat ini, seramai sembilan atlet Malaysia layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, membabitkan empat daripada sukan olahraga, memanah (2), Boccia (1) dan renang (2).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 10:27pm
    d