arena

Arsenal menang di Old Trafford

Oleh AFP

Manchester: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United tidak memberi aksi terbaik apabila mereka tewas kepada Arsenal 0-1 dalam aksi Liga Perdana di Old Trafford.

Jaringan penalti yang disempurnakan Pierre-Emerick Aubameyang membolehkan Gunners meraih kemenangan pertama di tempat lawan ke atas pasukan yang berada dalam kelompok enam terbaik selepas 30 percubaan di liga tertinggi Inggeris itu.

Pada perlawanan ke-100 Solskjaer, United kembali sedar akan kewujudan mereka selepas membelasah RB Leipzig 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara.

Enam perlawanan liga berturut-turut tanpa kemenangan di laman sendiri menyaksikan United kini menghuni tangga ke-15.

"Kami beraksi lemah pada babak pertama, mereka lebih baik daripada kami. Kami tidak ada dalam persaingan.

"Prestasi di laman sendiri dan tempat lawan tidak ada beza tanpa penonton di stadium. 100 peratus.

"Lihat saja statistik kemenangan di tempat lawan dalam liga. Tempat sendiri atau lawan tidak banyak beza," kata Solskjaer.

Sementara itu Mikel Arteta gembira dengan disiplin anak buahnya yang bangkit daripada tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir liga untuk kembali merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas kepada satu mata.

"Saya tidak mahu beritahu pemain-pemain yang kami tidak pernah menang di sini sejak 14 tahun lalu.

"Tetapi pasukan yang anda lihat malam ini adalah pasukan yang akan menjadi identiti kami.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 8:33am
d