arena

Rodrygo benam cabaran Inter

Oleh AFP

Madrid: Jaringan lewat Rodrygo membantu Real Madrid menewaskan Inter Milan 3-2 dalam saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Pemain Brazil berusia 19 tahun, Rodrygo yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol kemenangan di Stadium Alfredo di Stefano sekaligus melenyapkan kebangkitan Inter yang menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol.

Lautaro Martinez dan Ivan Perisic memberikan Inter harapan selepas Karim Benzema dan Sergio Ramos meletakkan Madrid di hadapan dengan Ramos meledak gol ke-100nya buat Real Madrid.

Tetapi Rodrygo muncul dengan penyudah tenang pada minit ke-80 bagi membolehkan skuad Zinedine Zidane meraih kemenangan pertama manakala Inter berdepan tugas berat jika mahu ke saingan 16 terakhir.

"Ia tiga mata sangat penting kepada kami," kata Zidane. "Kami perlu menang dan kami melakukannya dengan karakter selepas bergelut dengan lawan hebat, ia tidak mudah."

Kedua-dua pasukan sebelum ini dijangka bersaing merebut tangga teratas kumpulan tetapi sebaliknya permulaan goyah dengan Inter hanya meraih dua mata dan Madrid satu mata daripada dua aksi pembukaan menentang Borussia Moenchengladbach dan Shakhtar Donetsk.

Skuad Antonio Conte kini hanya menang satu daripada tujuh perlawanan terakhir manakala Madrid boleh menarik nafas lega selepas dua kekalahan berturut-turut bulan lalu.

"Kami perlu memandang ke hadapan dan terus bekerja keras," kata Martinez. "Kami tahu betapa sukar kejohanan ini. Kami beraksi dengan baik tetapi kerap membuat kesilapan. Anda tidak boleh mengulanginya pada peringkat ini."

"Real mempunyai ramai pemain berpengalaman," tambah Conte. "Mereka tahu saat untuk menamatkan perlawanan dan kami ketiadaan aspek itu."

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 7:48am
d