arena

Humbert hantar Tsitsipas pulang

Oleh AFP

Paris: Pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas tersingkir daripada Paris Masters selepas tewas kepada pemain Perancis, Ugo Humbert dalam aksi maraton pusingan kedua.

Humbert yang menang kali ketujuh berturut-turut selepas menjuarai gelaran Antwerp bulan lalu terlepas empat mata akhir sebelum menang 7-6 (7/4), 6-7 (6/8), 7-6 (7/3).

Dia jelas bergelut pada tie-break di set akhir selepas berada lebih tiga jam di atas gelanggang tetapi Tsitsipas berkata dia turut tidak cergas sepenuhnya.

"Saya kecewa dengan cara saya bermain," kata pemain nombor enam dunia itu yang tewas kepada pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dalam aksi epik separuh akhir Terbuka Perancis bulan lalu.

"Ketika di set kedua, kecederaan dialami ketika di Roland Garros kembali terasa tetapi ia tidak seburuk seperti di Terbuka Perancis dan saya tak pasti sama ada ia baik untuk saya di luar sana.

"Tetapi ia bukan alasan yang pastinya. Saya tetap berjuang dan memberi yang terbaik."

Humbert yang berusia 22 tahun akan menentang bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Marin Cilic untuk memburu tempat ke suku akhir.

Tsitsipas pula akan mempertahankan gelaran Pusingan Akhir Jelajah ATP di London pada kejohanan penutup musim yang dijangka pada 15 November.

Dalam satu lagi perlawanan sebelum itu, Stan Wawrinka berkata dia berharap dapat meneruskan momentum untuk mencabar gelaran utama sebelum mengakhiri karier selepas menewaskan pemain Britain, Dan Evans untuk mara ke pusingan kedua.

Pemain berusia 35 tahun itu menjuarai tiga Grand Slam dengan yang terakhir di Terbuka AS 2016 tetapi bergelut dengan kecederaan sejak itu dan kini menghuni ranking ke-20 dunia.

Tetapi pemain Switzerland itu percaya dia mampu mengembalikan semula sentuhan pada tahun akhirnya di Jelajah ATP.

"Saya makin hampir di penghujung karier,'' katanya selepas menewaskan Evans 6-3, 7-6 (7/3).

"Tetapi saya juga percaya mampu mengerah kudrat untuk mengulangi kejayaan dan saya akan berusaha mencapainya.''

Wawrinka yang gelaran Masters hanya 2014 di Monte Carlo kini kemarau trofi ATP menjangkau lebih tiga tahun.

Pilihan kelapan dari Belgium, David Goffin tewas pusingan awal kepada pemain nombor 105 dunia dari Slovakia, Norbert Gombos 6-4, 7-6 (8/6) manakala pilihan ketujuh dari Itali,

Matteo Berrettini tewas 7-6 (7/3), 6-7 (0/7), 7-5 kepada pemain Amerika Syarikat, Marcos Giron.

Pablo Carreno Busta yang mara ke separuh akhir Terbuka AS dan suku Terbuka Perancis tahun ini mengesahkan tempat ke saingan 16 terakhir dengan menewaskan pemain Jerman, Jan-Lennard Struff 7-6 (7/3), 6-2.

Turut mara ke pusingan kedua bekas naib juara Wimbledon, Milos Raonic dan Richard Gasquet.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 11:56am
d