arena

Nadal tekad akhiri badi ATP Finals

Oleh AFP

London: Rafael Nadal berkata dia bertekad memperbaiki rekod buruknya dalam gelanggang tertutup dengan mahu menjuarai ATP Finals buat kali pertama dalam karier gemilangnya.

Hanya satu daripada 86 gelaran perseorangan pemain Sepanyol itu hasil kemenangan di gelanggang tertutup iaitu di Madrid pada 2005.

Sejak itu Nadal menempah tiket kejohanan penutup musim, ATP Finals setiap tahun tetapi terpaksa menarik diri sebanyak enam kali.

Bercakap menjelang kejohanan di London O2 Arena, dia berkata terdapat beberapa faktor kegagalannya menyinar di gelanggang tertutup antaranya keletihan di penghujung musim selain pilihan gelanggang lain.

"Kita boleh mencari banyak alasan tetapi akhirnya, nombor tetap nombor,'' kata Nadal.

"Saya rasa saya kurang beraksi di kejohanan tertutup berbanding terbuka, tiada keraguan mengenainya. "

Pilihan kedua itu yang menyamai pencapaian Roger Federer dengan 20 Grand Slam selepas menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu berkata, corak permainannya tidak sesuai dengan gelanggang yang laju.

"Permukaan gelanggang tertutup tidak sesuai dengan permainan saya sejak permulaan karier saya," katanya yang berusia 34 tahun.

"Saya rasa saya beraksi dengan sedikit baik sejak beberapa tahun lalu dan saya berharap dapat mengubahnya minggu ini.''

Minggu lalu, Nadal mara ke separuh akhir Paris Masters sebelum dikalahkan Alexander Zverev.

Menurut Nadal, empat aksinya di gelanggang tertutup di Paris berjaya memperbaiki permainannya tetapi dia tidak pasti adakah itu persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan di London yang bermula Ahad ini.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 11:30pm
d