arena

Terminators, Avengers unggul hari pertama

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hari pertama saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyaksikan pasukan Terminators dan Avengers mengungguli hari pertama kejohanan. 

Terminators menang 7-4 ke atas Dominators manakala Avengers bersaing sengit sebelum menang tipis 6-5 ke atas Transformers. 

Aksi di antara pasukan Terminators yang diketuai perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia tampak mendominasi hampir kesemua saingan. 

Low Hang Yee-Nurfirdaus Azman gagal memberikan mata pertama selepas tewas 7-15, 12-15 di tangan Aaron Chia-Ng Eng Cheong. 

Mata penyamaan Terminators hadir menerusi beregu wanita, Chow Mei Kuan-Pearly Tan yang menang ke atas M Thinaah-Teoh Mei Xing 15-11, 15-12.  Dominators mendahului 2-1 selepas Hoo Pang Roon-Shevon Lai mengatasi gandingan Chen Tang Jie-Lai Pei Jing. 

Perseorangan lelaki, Ong Zhen Yi menang ke atas Ong Ken Yon 15-9, 15-13 untuk kembali menyamakan kedudukan dua sama. 

Soniia Cheah kembali meletakkan Dominators di depan 3-2 selepas menang ke atas Lee Ying Ying namun bergu campuran, Muhd Haikal Nazri-Low Yeen Yuan kembali mengikat kedudukan tiga sama selepas menundukkan padangan Goh Boon Zhe-Cheng Su Yin.

Giliran Terminators mendahului 4-3 apabila Lee Shun Yang menundukkan Lim Chong king juga straight set 15-12, 15-14 sebelum perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini menyumbang mata untuk Terminators terus di depan 5-3 selepas menewaskanTan Zhing. 

Lee Zii Jia tenang menyumbang mata keenam Terminators selepas menundukkan Ng Tze Yong 15-10, 15-13. 

Acara yang pertama kali diperkenalkan, lelaki dan wanita tiga sepasukan turut menjadi tumpuan di pertandingan ini apabila trio Terminators, Goh Soon Huat, Low Han Yee dan Wyman Goh tewas kepada Aaron Chia, Lwi Sheng Hao, Ng Eng Cheong dalam pertarungan tiga set untuk Dominators merapatkan jurang 4-6.

Namun trio wanita Chow Mei Kuan, Lai Pei Jing dan Pearly Tan memastikan mata ketujuh Terminator selepas menundukkan M Thinaah, Teoh Mei Xing, dan Yap Cheng Wen.

''Tujuan utama pertandingan ini untuk mendekatkan hubungan di antara pemain senior dan remaja. Begitu juga dengan semangat dan suasana pertandingan yang cukup meriah. Saya yakin dengan rakan sepasukan, apa sahaja perlawanan kami akan berikan yang terbaik. Selepas susun kedudukan pemain kami akan berbincang dan kami berjaya melakukan beberapa kejutan,'' kata Zii Jia. 

Dalam pada itu, persaingan melibatkan pasukan Avangers dengan Transformers cukup sengit sepanjang 11 perlawanan dengan Avengers melakar kemenangan 6-5.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 7:46pm
d