arena

Kuala Lumpur tunggu jawapan Elissetche

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sentuhan jurulatih Chile, Simon Elissetche bakal menjadi pertaruhan pasukan Kuala Lumpur musim depan yang meletakkan sasaran enam terbaik dalam saingan Liga Super.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa berkata, pihaknya sudah menawarkan kontrak selama enam bulan kepada bekas pengendali kebangsaan Timor Leste itu.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu jawapan daripada Elissetche yang meminta masa untuk mempertimbangkan tawaran itu.

"Ia betul kami dah tawarkan jawatan jurulatih kepada Elissetche Isnin lalu dan hanya menunggu daripadanya.

"Ada beberapa syarat dan KPI (indeks prestasi utama) antaranya memastikan pasukan berada dalam enam terbaik Liga Super. Selain itu tawaran gaji pun kecil saja, jadi terpulang kepadanya sama ada menerima atau tidak.

"Di pihak kami, harap beliau menerima dan jika pencapaian pasukan memberangsangkan, insyaAllah kami akan sambung lagi kontraknya hingga hujung musim," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Musim ini, skuad The City Boys berjaya meraih tiket ke Liga Super selepas menamatkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana di belakang Pulau Pinang dan Terengganu II FC (TFC).

Namun disebabkan TFC adalah pasukan 'feeder club', slot Liga Super diberikan kepada pasukan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, di sebabkan Nidzam Adzha Yusoff masih tiada lesen kejurulatihan Pro A bagi membolehkannya terus membimbing pasukan di Liga Super, maka KLFA terpaksa mencari pengganti dengan Nidzam memikul tanggungjawab selaku penolong jurulatih.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 6:53pm
d